Showing posts with label SEA FOOD. Show all posts
Showing posts with label SEA FOOD. Show all posts

Monday, May 22, 2017

Kerabu Sotong Ala Thai

Assalamualaikum..
Ramadhan bakal menjelma...sana sini meraikannya dengan kenduri tanda kesyukuran datang nya kembali ramadhan Al Mubarak. Keluarga kami juga mengambil kesempatan untuk berkumpul. Tentulah nak bawa ole-ole atau pot luck.
Akak memang dah merancang awal lagi nak buat Kerabu Sotong sebagai pembuka selera, 


Memang sedap bila makan bersama lauk lauk lain yang beraneka jenis...juga lauk kebangsaan N9.. MLCP.. 
Nanti boleh buat buka puasa ya,,,mudah dan cepat...

KERABU SOTONG ALA THAI
Sumber: YatieKitchen

Beli sotong yang segar, potong dan cuci bersih. Dalam 500 gm sotong.
celur sebentar  angkat dan terus masukkan kedalam air berais supaya sotong segar. Jangan celur terlalu lama nanti sotong liat..agak2 dia gebu tu boleh la angkat.
Bawang putih 3 ulas diketuk aje dengan kulit-kulit sekali. Tekan aje dengan pisau...habih citer. Cili akar merah dan hijau ikut suka pedas masing-masing.
Blend dalam pengisar kering tapi jangan sampai halus. Guna batu tumbuk pun boleh..2-3 sudu besar air asam jawa pekat. 2-3 sudu besar sos ikan @nampla.
Limau nipis 3 biji diperah ambil airnya dan masukkan juga kulit limau yg telah di perah tadi. Pastikan tiada biji limau ya...nanti pahit kerabu tu...
Jangan lupa daun ketumbar hiris kasar...kalau nak letak kacang panjang pun boleh...potongla sesuka hati ya.. opst...tomato jangan lupa...ambil yg merah kehijauan. Hiris nipis...kalau tomato ceri belah 2 aje,
Satukan semua dan gaul rata. Letak gula lebih sikit untuk seimbangkan rasa. Kalau perlu bubuh garam..tp sos ikan dah masin. Yang penting kena pandai main rasa yang seimbang baru enak..Akak suka daun ketumbar banyak-banyak...baru naik bau ala-ala thai tu....



Saturday, October 3, 2015

KETAM CILI BERTELUR


Assalamualaikum wbh.
Jom kita cerita pasal lauk ketam pula. Kali ini saya masak ketam cili bertelur. Ketam yang segar memang sedap di masak begini. Kalau di rumah saya, ketam juga di sukai anak-anak jika saya masakkan ia dengan kicap berbutter dengan aroma daun kari..

Setelah menghantar pulang anak keasrama tempohari saya dan suami pun melencong ke Kuala Selangor..Mulanya malas nak pergi sebab jerubu begitu teruk keadaannya. tapi bila mengenangkan dah separuh jalan, redah jugalah..alhamdulillah ketika saya tiba baru saja reda hujan..jadi tak la menyesak hidung sangat.

 Kami tuju ke Pasir Penambang. Sempatlah saya beli beberapa jenis ikan, sotong, udang dan ketam...kebetulan waktu saya tiba, tokey kedai kata bot membawa udang akan tiba...
So, rezeki saya lah dapat beli udang yang betul betul baru naik...memang seronok..

Udang yang baru tiba sedang menjalani proses pengkelasan saiz.
Bila balik, saya goreng udang bersalut bread crumb...memang syok dapat makan udang segar..

Dalam perjalanan balik singgah makan di Warong Soto. Saya awal lagi dah berkira nak makan Pecal. Saya minta suami order Soto...sebabnya...saya nak menumpang makan Soto jugak...hehehe...
Nak masak ketam cili bertelur ni tak susah...tapi ianya sedap..lebih-lebih lagi bila di makan dengan nasi panas..


Ok jom kita lihat macamana nak masaknya ya..

KETAM CILI BERTELUR
BAHAN-BAHAN

4-5 Ekor ketam (belah 2 saja)
5 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 Cawan cili kisar/cili boh
1 sudu makan sos tiram
1/2 cawan sos cili
1 cawan air asam
(dari 1 tsp asam jawa)
1 biji telur
gula dan garam secukup rasa
daun bawang & bawang goreng (tabur)
1 camca kecil minyak bijan (optional)

CARA:-
Ketam di cuci bersih (saya tak buang kulit tebalnya kerana nak nampak cantik merah ketam tu bila di masak. Sepitnya pula saya ketuk sedikit supaya senang nak makan ). Lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng sebentar , angkat dan ketepikan.
Tumbuk bahan bertanda * (tak perlu lumat). Panaskan lebih kurang 3/4 cawan minyak lebihan goreng ketam tadi di dalam kuali dan tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau/kekuningan baru masukkan cili kisar/cili boh. Kalau nak sedap rajin-rajinkan diri kisar cili tu...senang je..potong kecil-kecil cili kering tu dalam 10 tangkai, Rendam dengan air panas atau rebus sekejap. cuci dan kisar halus. kalau nak cepat tu, guna aje lah cili boh yg ada jual kat kedai...selalunya jenama puteri kalau kat tempat saya..
Kalau nak cantik kuahnya tambah la 2 sudu makan cili serbuk semasa masukkan cili kisar/boh ke dalam kuali. Masaklah sehingga naik minyak berwarna merah. Saya selalu tambahkan air dalam 1/2 cawan dan masak lagi cili tersebut sehingga agak garing cilinya atau terbit minyak cili. Itu teknik saya untuk memastikan cili benar-benar masak.
Masukkan pula sos tiram dan cili sos. Kacau rata dan masak sebentar baru masukkan air asam jawa. Apabila kuah mula merenih, masukkan gula dan garam secukup rasa. Kacau rata dan masukkan pula telur yang telah di kocak sedikit. Kacau lagi sehingga telur rata dan mulai kental (ketika ini boleh masukkan minyak bijan). Masukkan ketam dan gaul rata. Angkat.
Taburkan hirisan daun bawang dan bawang goreng. Aromanya yang enak pasti memikat selera...

Wednesday, February 4, 2015

STEAMBOAT... perrrgghh yuMmy...


Bila saya google semula N3 berkenaan Steamboat ala Johnnys yang saya keluarkan adalah pada tahun 2012.. Alahai..lamanya..dan bila saya google semula dah banyak rupanya resepi terkini yang di upload oleh blogger lain. Ada banyak versi yang boleh di cuba.

Kali ini saya masih menggunakan resepi asal yang saya buat dulu...tetapi saya ubah dan tambah sedikit bahan agar rasa kuah steamboatnya lebih mengancam!
Untuk air rebusannya pula, saya gunakan stok ayam yang saya buat dari tumisan bawang putih dan sedikit halia, sebatang serai, sepotong kecil asam gelugur(agar tidak hanyir) dan beberapa pasang kaki ayam. Saya gunakan hanya sedikit saja minyak untuk menumis agar bau bawang putih dan halia dapat mewangikan lagi bau stok ayam itu.
Semuanya saya buat awal untuk mendapat rasa yang sebati terutama kuah steamboat itu.


Hajat dihati ingin singgah ke Pasar borong Serdang  untuk mendapatkan daging segar.
Ketika menuju ke hala kajang, jalan jadi padat...jammed la pulak..apalagi terus aje ubah rancangan. Cancel hajat hati nak beli daging fresh..dan akhirnya ke Tesco saje..Untuk bahan basah saya gunakan ayam, udang, ikan salmon, tahu, sayur hijau segar , cendawan dan mee. Kalau rajin bolehlah di tambah dengan berbagai lagi bahan yang seperti di Johnnys...




Untuk memeriah kan lagi suasana ber steamboat, saya juga sediakan dessert yang menjadi kemestian bagi kami order jika ke Restoran steamboat tersebut...


Resepi boleh klik di sini ya... RED RUBY..

STEAMBOAT SAUCE...ala Johnny's
BAHAN-BAHAN

4 ulas bawang putih
1 inci halia
4 sudu makan cili kisar
2 sudu makan sos tiram*
3/4 cawan sour plum sos*
2 sudu makan sos ikan*
2 sudu makan cili sos*
2 sudu makan minyak bijan
1/2 kiub ayam
1 keping kecil gula kerek/melaka
2 sudu makan bijan sangai
air dari perahan sebiji lemon
1 mangkuk air.
gula dan garam secukup rasa
1 1/2 sudu makan tepung jagung
1 Tangkai daun ketumbar
(Dicincang. Akar dan batangnya juga di ambil)

CARA MEMASAK:-
Tumbuk bawang putih dan halia. Tumiskan sehingga naik bau dan kekuningan. Masukkan cili kisar. Masak sehingga naik minyaknya. Tuang sedikit air dan masak semula sehingga pekat dan naik minyak nya.(untuk memastikan cili kisar benar-benar masak)
Masukkan pula bahan yang bertanda* dan gaul rata. Masak sebentar. Tuangkan air. Kacau rata dan apabila mendidih masukkan gula kerek. Masak sehingga gula hancur. Kemudian baru masukkan sos ikan dan akar serta batang daun ketumbar.
Pekatkan kuah dengan tepung jagung yang telah di cairkan dengan sedikit air. Kacau selalu waktu menuang cairan tepung kedalam kuah supaya tidak ber gumpal.
Akhir sekali masukkan minyak bijan, bijan sangai, garam dan gula(jika perlu) secukup rasa. Angkat.
Tabur dan gaul rata daun ketumbar cincang ketika menghidang.

#Hanya masukkan minyak bijan di saat akhir supaya tidak berbau seperti hangus.

Sunday, February 2, 2014

Tomyam Santan


Assalamualaikum wbh..
Saya adalah salah seorang penggemar masakan Thai, Tomyam.. Sejak akhir-ahir ini sering di masak di rumah kerana ianya boleh di siapkan cepat dan enak pula...Kalau mood malas tu, masak Tomyam beraneka isi nya dan sayur-sayuran pelbagai, goreng telur dadar sudah memadai bagi saya dan keluarga. Ada waktu malas nak masak beria, nak makan kat luar..nak bersiap bagai...so, masak aje la yang mudah-mudah.


 

Resepi kali ini memang saya nak katakan boleh naik 2 ibu jari...sedap! mudah!
Tak puas menghirup kuahnya...kalau makan dengan meehoon atau mee basah pun sedap...apa lagi dengan nasi panas...dia saja pun dah cukup...


TOMYAM SANTAN
BAHAN-BAHAN

600 gm ayam
(saya guna isi ayam)
6 batang serai
15-20 tangkai cili padi
1/2 biji kelapa
(diambil 2 mangkuk santan)
6 helai daun limau purut
3 biji tomato
1 labu bawang besar
2 peket cendawan tiram
2 tangkai daun bawang
secekak daun ketumbar
1 inci lengkuas
1 inci halia
2 kiub tomyam
3 tsb paste cili 
(mae phranom)
2 tbsp sos nampla
1 biji limau nipis besar
(perah airnya)

CARA MEMASAK:-

1. Potong isi ayam nipis-nipis. Serai di potong menyerong kasar. Hiris kasar halia , lengkuas dan bawang besar.Potong wedges tomato.
2. Siat-siat kasar cendawan tiram dan daun limau purut. Ketuk sedikit cili padi.(saya letak banyak cili padi kerana santan membuatkan ianya kurang pedas)))
3. Masukkan santan kedalam periuk besar bersama serai, lengkuas dan halia. Didihkan sambil si kacau. Masukkan pula cili paste, sos nampla/ikan dan  kiub tomyam.
4.Masukkan pula ayam,masak lagi sehingga separuh masak. Masukkan cendawan, daun bawang, daun ketumbar(perlu ada) dan daun limau purut serta cili padi.
5. Masukkan sedikit gula, air limau nipis, bawang besar dan tomato. Didih kan sebentar saja dan boleh di angkat...

Friday, January 17, 2014

LONTONG aka LODEH




Assalamualaikum..Jumaat penghulu hari dan merupakan hari cuti peristiwa bagi negeri terpilih..Tentu ada  masak-masak istimewa untuk keluarga yang bercuti. Macam saya pagi ni hanya masak nasi goreng memandangkan nasi semalam tiada siapa yang menyentuhnya ekoran dari kekeyangan makan Lontong aka lodeh ni...
Mengapa saya tulis Lontong aka Lodeh? Separuh tempat memanggilnya Lontong dan ada yang katakan ianya Lodeh...alaaa..macam lagu Kak Nita tuuuu...Lodeh anak Mat Salleh..Nanti kalau anak-anak saya atau generasi muda yang lain mahukan resepi tak ler mereka confuse...macam kata Lisa anak bongsu saya..."ni buat saya confuse" dan tahu lah mereka nanti kedua-dua nya adalah benda yang sama...

Saya gemarkan jika lontong di sertakan dengan begedil dan serunding...tapi kali ini semua tu tak sempat hakak nak buat...so apa yang ada sajalah...untuk panduan...begedil dan serunding boleh di buat lebih awal dan di frozen kan...Sambal kacang tu pun saya dah sediakan awal...hanya defrost dan perangat kan saja...
Kali ini tak letak pula tahu kering kerana tiada stok...Apa yang pasti sayur Lodeh saya mesti ada sayur fuchuk. Itu kegemaran suami..ermmm akak jugak... Kalau masak Lontong atau Lodeh ni dapat menjimatkan masa kerana ia amat sesuai dimakan dari pagi hingga ke malam...cuma jgn lupa sering perangatkan kuah lodeh supaya tidak cepat basi...almaklum lah beraneka sayur dan bahan lain di campur bersama.


Untuk step pertama kita perlulah rebus ketupat segera atau nasi impit . Kalau nak makan pagi rebus dulu lah pada malam sebelumnya supaya ia benar-benar sejuk. Begitu juga dengan telur rebus. Kuah kacang juga lebih elok di masak awal supaya rasa kacang lebih sebati dengan kata lain lebih uummpphh la...

KUAH LONTONG/LODEH

BAHAN-BAHAN

300gm  Daging tetel
(rebus empuk)
11/2 biji kelapa parut
(ambil santan cair n pekat
anggaran 1 mangkok setiap jenis)
6 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 biji buah keras*
segenggam kecil udang kering*
1 inci halia*
3/4 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
3 batang serai*
4 baatng sayur fuchuk
(rendam lembut)
1/2 biji kecil sengkuang
1 batang kecil karot
4 helai kobis
1biji kecil terung 
2 biji cili hijau
2 biji cili merah
2 keping tahu
1 keping (plastik) tempe
sedikit fish ball/ cake
Sayuran lain jika ada.

CARA MEMASAK:-

1. Kisar bahan yang bertanda* hingga lumat. Goreng tahu dan tempe yang telah di potong berasingan. Ketepikan. Potong sayur mengikut citarasa masing-masing.

2.Tumis bahan yang telah di kisar sehingga naik bau wangi.(bahan perlu agak garing supaya naik bau wangi  kuah dan tidak mudah basi) Masukkan santan cair. Kacau rata dan bila mula mendidih masukkan daging tetel dan kesemua bahan lain kecuali santan pekat. Selalunya kalau masak yang bersantan, kuah perlulah di kacau selalu..

3. Biarkan masak sebentar dan masukkan pula santan pekat. Tambahkan garam dan sedikit gula secukup rasa. Apabila sayur agak mula layu bolehlah di tutup api.


SAMBAL SOTONG KEMBANG

BAHAN-BAHAN

2 ekor sotong kembang
6 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
15 tangkai cili kering*
(rebus sekejap)
1 labu bawang besar
asam jawa sebesar ibu jari
(cairkan dgn sedikit air)
1 inci belacan*
1 kiub ayam

CARA MEMASAK:-

1. Cuci dan potong sotong kembang. Rebus sebentar . Pastikan tidak terlalu lama merebus sotong untuk menghindar dari menjadi keras. Angkat dan toskan.

2.Kisar bahan yang bertanda* hingga halus. Tumis bahan kisar didalam minyak yang lebih sedikit. Masak sehingga cili benar-benar masak. (saya akan letakkan sedikit air apabila cili telah pekat dan masak lagi sehingga naik minyak bagi memastikan cili benar-benar masak).

3. Setelah terbit minyak masukkan garam dan gula secukup rasa, kiub ayam, bawang besar yang di hiris kasar. Masukkan juga sotong kembang. Masak sehingga kuah cili agak pekat dan sebati bersama sotong. 


Monday, June 10, 2013

RENDANG LOKAN



Pasti ada yang tidak pernah mendengar perkataan Lokan terutamanya generasi kini. Anak-anak saya sendiri tak pernah kenal apa itu Lokan sebelum saya mengenalkannya kepada mereka. Kerang-kerangan yang juga dikenali secara saintifik dengan nama 'Polymesoda expansa' merupakan kerang-kerangan seperti kepah , Lala atau remis. Ianya boleh didapati di dalam lumpur berhampiran sungai di pinggir laut. Rasanya sama seperti Kepah cuma sifatnya lebih besar dan lebih nipis berbanding Kepah.


Beginilah rupa Lokan kepada yang tak pernah melihatnya. Cuma kali ini saya dapat yang kecil-kecil sahaja.
Lokan begitu sinonim dengan saya 4 beradik kerana ketika arwah abah masih muda dulu beliau akan bawa pulang berguni lokan dan ada ketikanya saya turut sama membantu mencarinya.Ketika itu lokan nya besar-besar belaka sehingga ada yang sebesar piring cawan. Pengalaman yang begitu berharga dan tak mungkin dapat di ulangi lagi....Tiba hari raya itulah juadah istimewa yang sering arwah emak masak untuk hidangan kepada sanak saudara disamping rendang ayam. Abah pula akan membakar lemang yang pada saya tiada tandingan keenakannya... Rendang lokan juga yang di cari oleh anak-anak buah emak memandangkan sukar bagi mereka yang dari kota, mendapatkannya....Dan saya juga belajar memasak dengan memasak Lokan masak kicap...itulah permulaan saya dalam dunia masakan...
Tetapi bila air sungai yang sangat jernih ketika itu mula di cemari oleh pencemaran najis, saya tidak lagi dapat menikmati pengalaman yang istimewa itu dan hanya menikmati lokan yang di beli dari luar saja...


Lokan perlu di belah dan dikeluarkan isinya sebelum di masak. Itulah perkara yang paling mencabar.Sampai kecut-kecut jari bila mengeluarkan isinya kerana ia akan mengeluarkan banyak air. Bayangkan berguni lokan perlu di keluarkan isinya untuk mendapat sekuali besar rendang lokan!

Isi Lokan serupa aje macam Kepah atau Lala....


Pada mulanya saya nak masak kicap ajer. Tapi bila terbayangkan keenakan rendang lokan yang di makan bersama nasi atau roti, saya buat jugalah rendang. Saya juga inginkan agar anak-anak saya merasai kemanisan Lokan itu apabila telah di buat rendang. Kali ini saya tidak masak rendang itu sampai kering supaya ia agak lembab .


Inilah hasilnya...ternyata anak-anak menyukai rasa Lokan yang 'manis' itu.. Cuma kali ini saya malas nak mengisar cili kering...saya hanya guna cili padi saja....Bila tiba waktu makan saya berkata kepada anak-anak...seperti inilah masakan yang sering arwah opah mereka masak untuk saya adik-beradik...Sayu dihati ketika itu hanya Allah yang tahu....terlalu kuat ingatan itu...

RENDANG LOKAN AZIAN

BAHAN-BAHAN

30 biji lokan

3 cawan pati santan

segenggam kecil cili padi*
(ikut kepedasan yg di sukai)

6 ulas bawang merah*

2 ulas bawang putih*

1/2 cawan kerisik

2 batang serai*

1 inci lengkuas*

1 inci halia*

1 inci kunyit*

1helai daun kunyit*
(1/2 di kisar, 1/2 di hiris)

2 batang serai dititik

1 keping kecil asam keping

garam secukup rasa

CARA MEMASAK:-

Keluarkan isi lokan . Cuci dan toskan. Kisar semua bahan yang bertanda *. Masukkan kedalam kuali.
Masukkan juga santan , serai yang di titik, asam keping dan kerisik. Masak sambil di kacau sehingga pekat atau agak kering. Perasakan dengan garam. Kacau rata dan masukkan pula lokan. Apabila lokan telah di masukkan rendang akan kembali sedikit lembab kerana lokan akan mengeluarkan air. Masak sebentar dan masukkan daun kunyit yang di hiris.Gaul rata dan angkat.

# Lokan tidak boleh di masukkan awal atau di masak terlalu lama kerana ianya akan menjadikannya sedikit liat.


Wednesday, March 28, 2012

Sambal Berkacang Sotong Kembang


Ketika memenuhi jemputan undangan perkahwinan sejak akhir-akhir ini saya seringkali dihidangkan

dengan Sambal Berkacang Sotong Kembang. Mula-mula makan ingatkan sambal tumis sotong kembang 

seperti yang selalu di makan bersama nasi lemak tu. Tapi bila di makan terasa pula kacang dan terasa 

keenakannya hinggakan anak sulong saya Ashiqin meminta saya masak sotong begitu di rumah. Bukan apa

dia nak makan puas-puas lah tu...Kena lah pada selera dia.......




Makan bersama nasi putih dan sayur bayam goreng bertelur. Terangkat!


Sambal Berkacang Sotong Kembang ini adalah dari citarasa saya sendiri. Mungkin berbeza cara saya dengan 

yang saya makan kat kenduri tu.....Dari feedback yang di beri oleh tukang rasa aka pengomen saya tu ...

Katanya sedappp dan sama rasanya seperti kat kenduri tu...Apa-apa ajelah...yang penting ibu dah masakan

kesukaan kakak tu kaannnnn....heheh


SAMBAL BERKACANG SOTONG KEMBANG

Sumber: Azian Collections

BAHAN-BAHAN

2 Ekor sotong kembang

6 Ulas bawang merah

2 Ulas bawang putih

1/2 inci Belacan

2 batang serai

1 inci halia

1/2 inci lengkuas

1 cawan cili kisar

1/2 cawan santan

1 labu bawang besar

segenggam kacang tanah

2 sudu air/puree asam jawa

gula & garam secukup rasa

CARA MEMASAK:-

1. Potong sotong mengikut citarasa sendiri. Cuci dan sanggai dalam kuali . Air sotong akan keluar dan

masak sehingga air hampir kering. Angkat dan ketepikan.

2. Sangai kacang tanah. Buangkan kulitnya dan tumbuk kasar.

3. Kisar bawang merah, putih. serai,lengkuas,halia dan belacan.

4. Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan cili kisar. Masak sehingga cili betul-betul masak
atau pecah minyak.

5. Masukkan sotong kembang dan gaul rata bersama santan, kacang tanah dan air asam jawa.

6.Masukkan garam secukup rasa dan juga sedikit gula.

7. Apabila telah sebati, masukkan bawang besar yang dihiris kasar. Gaul rata dan masak sehingga bawang
layu. 





Friday, March 16, 2012

STEAMBOT ALA JOHNNY'S....


Assalamualaikum wbr. Dalam keceriaan bersama keluarga tentunya seronok makan bersama di mana untuk

sesetengah keluarga suasana begini jarang dapat di nikmati. 

Dan sebagai ibu tentu ramai yang seperti saya akan cuba memasak dan menghidangkan makanan kegemaran anak-anak dan keluarga keseluruhannya. 

Bila tengok sos tersebut tentu pada mereka yang selalu menikmatinya di salah sebuah restoran Steambot, 

akan dapat membayangkan keenakannya. Inilah antara menu yang di sukai oleh keluarga saya.

 Suami saya pernah bersuara kepada saya agar mencuba mencari 'rasa'

sos tersebut untuk di masak dirumah. Akhirnya tersahut juga cabaran itu walaupun tidaklah 100  peratus

sama rasanya. Dan begitulah gembiranya di hati bila suami kata dah hampir sama dan anak-anak pun

 menikmatinya dengan kepuasan.....




Percubaan ini  dan belum dapat lagi saya baiki 'rasa' yang perfect itu ekoran dari kekangan waktu.

Tetapi oleh kerana ada banyak permintaan dari rakan-rakan terhampir dan Fb, maka saya tunaikan juga

permintaan untuk resepinya. Sekiranya anda dapat 'rasa' yang tepat maka baikilah ia dan kongsikan pula bersama saya nanti.....



Inilah yang menarik minat anak-anak. Tapi kalau dapat udang kertas/putih yang besar lagi besttt...

Isi ayam tu dipotong nipis-nipis. Kerja yang mudah....




Saya suka bila steambot dimakan bersama mee atau bihun. Kalau ada spinach mee lagi sedap...

Tapi akakkkk belum pandai buat lagi....hehe... Pilihan bahan untuk di celop terpulanglah pada

kegemaran anak-anak.



Untuk sup nya saya tumiskan 3 ulas bawang putih yang di tumbuk bersama sedikit saja minyak masak 

sehingga kekuningan. Masukkan air secukupnya dan taburkan 1 camca serbuk ikan bilis.


SOS STEAMBOT
Sumber:  azian collections


3 ulas bawang putih

1 inci halia

5 sudu cili kisar

1 camca biji ketumbar

2 sudu sos tiram

4 sudu cili sos

2 sudu sos ikan

5 sudu sour plum sos

2 sudu gula
( saya guna gula nisan cair)

Daun ketumbar secukupnya
( di cincang halus daunnya sementara batangnya
dikisar bersamabawang putih dan halia)

1 mangkuk air

3 sudu tepung jagung

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Tumbuk/kisar bawang putih , halia , batang ketumbar dan biji ketumbar.

2. Tumis bahan yang di tumbuk sehingga naik bau wangi dan masukkan cili kisar.

3. Masak cili sehingga benar-benar masak dan masukkan pula semua jenis sos. Kacau rata sebentar.

4. Masukkan air dan biarkan mendidih.

5. Masukkan pula gula dan garam secukup rasa. ( tambahkan gula secukup rasa jika perlu)

6. Pekatkan sedikit sos dengan tepung jagung yang telah di cairkan.

7. Setelah pekat dan masak secukupnya, masukkan daun ketumbar yang dicincang halus.


Sunday, September 4, 2011

TOM YAM MUDAH TAPI SEDAP!


Assalamualaikum.

Jalanraya mulai penuh sesak dengan kederaan untuk pulang kerumah sendiri setelah hampir 

seminggu di kampung halaman.Hari ini pasti ramai yang akan memulakan perjalanan menghantar anak-anak 

kembali ke asrama termasuklah saya yang akan ke Melaka menghantar anak sulong saya ke Kolej.

Akan bermulalah beraya di kota pula dan sesaklah semula jalanraya di Klang Valley ini ...

Pada mereka yang kehabisan idea untk memasak bagi tetamu yang akan berkunjung bolehlah mencuba Tom 

Yam saya ini....Enak dimakan bersama bihun atau mee. Manalah tau tiba-tiba ada tetamu menalifon nak 

datang kerumah...Apa lagi...masaklah Tom Yam ini yang senang di masak sedap dimakan....

Pasti tak mengecewakan kerana malam tadi sewaktu saya hidang untuk makan malam, habis kuah nya di 

hirup anak-anak...tu tandanya mestilah sedappp!




TOM YAM MUDAH TAPI SEDAP!

BAHAN-BAHAN

200gm isi ayam

6-8 ketul ayam
(bahagian bertulang spt kepak,kaki ,leher)

1 mangkuk sederhana air

100 gm sotong

100gm udang

1 kiub tomyam knor

2 tsp cili paste mae phranom

2 tbsp sos ikan

karot

kobis bunga

putik jagung

3 batang serai
(dipotong-potonng menyerong)

3 helai daun limau purut

2 biji limau nipis

Daun ketumbar

2 biji tomato
( potong 4

1 biji bawang besar kuning
(hiris kasar)

4 biji cili akar
(titik)

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Rebus bahagian bertulang ayam sehingga empuk. Ketepikan ayam itu dan tinggalkan air rebusannya sahaja.

2. Masukkan serai, daun limau purut, kiub tomyam, cili paste, sebiji tomato, cili akar  dan sos ikan. Gaul rata.

3. Masukkan pula isi ayam yang telah di hiris nipis dan masak sebentar.

4. Masukkan pula sayur-sayuran yang telah di potong mengikut suka dan bawang besar . Biarkan sebentar.

5. Akhir sekali masukkan udang, sotong, tomato dan air limau nipis. Kacau rata dan masukkan garam jika perlu.

6. Api hendaklah sentiasa kuat semasa memasak tomyam . Celurkan bihun atau mee sebelum di hidang......

Taburkan daun ketumbar untuk aroma yang lebih sedap.



Tuesday, August 9, 2011

Nasi Hujan Panas & Udang Masak Merah


Assalamualaikum.

Telah masuk hari ke sembilan umat islam menunaikan ibadah puasa. Pejam celik sekejap aje masa berlalu. 

Sebagai 'tukang masak' di rumah pening juga kepala nak memikirkan apakah menu yang bakal di hidang. Lalu 

pilihan utama saya adalah yang di gemari anak-anak. Itu pun yang tinggal hanya berdua yang puasa. Saya dan 

suami tak kisah apa pun hanya sesekali aje teringin nak makan itu ini.

Sebenarnya rasa bersalah juga nak upload resepi memandangkan yang berdua lagi tiada di rumah bersama berbuka , jika 

mereka buka blog ibunya pasti teringatkan makanan yang mereka suka. Tapi tak mengapalah ...semuga 

bertambah kuat ingatan terhadap ibu mereka dan semuga mereka dapat membezakan segala-galanya. Itu juga 

suatu pembelajaran bagi mereka.





Nasi hujan panas ini saya guna teknik paling mudah. Warnakan ala-ala rainbow gitu...

Tapi warna merah dah mengatasi warna lain....garang ajer jadinya nasi hujan panas tuuu... sebab matahari nya 

lebih terik dari hujan yang ghebas ajer...heheh




Dimakan bersama Kari Ayam , Udang masak merah dan semestinya papadom.

Disebabkan anak-anak tak makan jelatah /sayur maka saya tinggalkan geng yang itu. Malas pun yer jugak

 hehe...





Sambal udang versi ada manis-manis sikit supaya ngam bila makan.


NASI HUJAN PANAS

BAHAN-BAHAN

3 cawan beras basmathi

2 tbsp minyak sapi

2 sudu minyak masaK

1 Peket kecil rempah penumis

1 kiub stok ayam

1 biji bawang besar

1/2 cawan susu cair

1 helai daun pandan

2 tbsp air rose

Pewarna merah, hijau & kuning


CARA MENYEDIAKAN:-

1. Cuci beras basmathi. Sukat air mengikut ketinggian beras yang telah di ratakan dalam periuk tanpa air 

dengan jari. Masukkan air mengikut sukatan beras pada jari tadi tetapi kali ini jari di letakkan di atas 

permukaan beras yang rata. ( saya gunakan teknik ini untuk menyukat air ketika masak  nasi . InsyaAllah nasi 

tidak keras atau lembik). Rendam beras selama 10 minit dan tos kan airnya (jgn di buang)

2. Hiris bawang besar.

3. Satukan minyak dan minyak sapi . Tumis rempah penumis dan bawang besar hingga layu.

4. Masukkan beras yang telah di toskan dan gaul rata supaya tidak hangus. . Api perlulah perlahan. Masak sehingga air pada beras agak kering.

5. Masukkan air, susu, stok ayam, daun pandan dan garam secukup rasa.

6. Masak sehingga air agak kering. Titiskan air rose pada nasi. Buat lubang pada nasi dan titik kan warna pilihan. Tutup tudung periuk dan biarkan nasi benar-benar kering.


7. Apabila nasi telah kering barulah di kais rata agar warna sekata.



UDANG MASAK MERAH

10 Ekor udang besar

4 biji bawang merah*

2 Ulas bawang putih*

1/2 inci belacan*

6 tbsp cili kisar

1 tbsp sos cili

1 biji bawang besar

gula & garam secukup rasa

2 tbsp air asam jawa

CARA MEMASAK:-

1. Cuci dan toskan udang. Lumur dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng sebentar. Ketepikan.

2. Kisar bahan yang bertanda * 

3. Tumis bahan kisar hingga kekuningan. Masukkan cili kisar dan masak sehingga naik minyaknya.

4. Masukkan cili sos, air asam jawa, garam, dan gula secukup rasa.

5. Masukkan bawang besar yang telah di hiris kasar dan udang. Gaul dan masak sehingga bawang hampir layu. Angkat.