Showing posts with label NASI. Show all posts
Showing posts with label NASI. Show all posts

Tuesday, May 20, 2014

teknik lain membuat Chicken Mandi...



Assalamualaikum wbr..
Sana sini dah ramai yang mahir menyediakan Nasi Arab yang pelbagai nama di rumah sendiri. Alhamdulillah itu lebih baik dalam keadaan semuanya serba mahal sekarang ini...
Jika saya malas menyediakan lauk yang pelbagai, saya lebih suka menyediakan Nasi Arab...tak kiralah Mandi ke, Kabsah ke atau Briyani...Semua jenis rempah telah saya kumpulkan di rumah...

Terbaca di fb resepi dari Puan Roza dari page U-MKI menggamit saya untuk mencuba resepi dari beliau. Tetapi saya tidak mengikut teknik dari beliau yang memerlukan nasi di masak bersama ayam di dalam oven. Sebaliknya saya menggunakan periuk nasi saja.
Untuk lebih menjimatkan lagi, saya tidak memanggang menggunakan oven tetapi panggang sahaja ayam di atas grill pan sebentar...
Dari maklum balas anak-anak ternyata cara ini lebih menerbitkan rasa ayam pada nasi dan jadilah ia lebih enak!
Bak kata Puan Roza,memasak dengan menyebut nama Allah, berselawat dan tawakal akan menjadikan sesuatu resepi itu tidak salah...Allahuakbar!


Jom kita lihat bagaimana memasak Chicken Mandi ini dengan cara yang lain dari kebiasaan yang saya gunakan...Sukatan adalah mengikut pemerhatian saya seperti yang selalu saya gunakan...hanya bahan saja yang saya ikuti....


CHICKEN MANDI
Rujukan: U-MKI /FB

BAHAN-BAHAN

1 ekor ayam 
(saya potong biasa)
3 sudu besar jus lemon
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk cili
1 1/2 sudu teh safron/pewarna safron
(beli di kedai Arab)
4 Cawan beras panjang  nasi arab
( rendan dalam air garam 2 jam)
2 biji bawang besar
1 inci halia (hiris)
2 keping bay leaf
2 biji limau kering
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar rempah mandi
3 biji bunga lawang,buah pelaga, kulit kayu manis
4 ulas bawang putih
(ditumbuk)

CARA PENYEDIAAN:-

1. Lumur ayam dengan bawang putih.jus lemon. lada hitam, serbuk cili, safron dan garam. Perap selama 30 minit atau lebih.
2. Tumis hirisan bawang besar halia dan rempah penumis dengan minyak sapi sehingga layu. Masukkan juga rempah mandi, bay leaf dan limau kering. Masukkan beras yang telah di toskan. Gaul rata perlahan-lahan selama 5 minit.
3. Susunkan ayam yang telah di perap tadi di atas nasi. Campurkan air sebanyak sukatan beras bersama sedikit garam. Tuangkan ke atas ayam. Tutup dan masak seperti biasa.
4. Keluarkan ayam dan susun di atas grill pan. Renjiskan sedikit minyak zaitun dan panggang sehingga kekuningan di kedua-dua belah bahagian ayam.
5. Masukkan semula ayam ke dalam periuk nasi. Kosongkan dibahagian tengah untuk di isi dengan aluminium foil yang di bentuk seperti kotak berisi sedikit minyak. Letakkan arang yang telah di bakar ke dalamnya dan tutup segera periuk dengan aluminium foil dahulu baru di tup dengan penutup periuk supaya asap dan aromanya tidak keluar. 
6. Biarkan 10 minit, keluarkan arang dan aluminium foil. Keluarkan juga ayam dan ketepikan. Kais nasi perlahan guna garfu supaya nasi tidak patah. 
7.  hidangkan bersama ayam, salatah dan sayur mayur penyedap rasa seperti cili hijau, bawang besar, tomato dan daun salad.
# Nasi Arab kali ini lebih berperisa dan ayam nya juga agak 'moist'...
cuma dengan cara ini ayam kelihatan tidak cantik kerana ada nasi yang melekat, Mungkin selepas ini boleh di perbaiki....

Untuk resepi Salatah, boleh klik di sini..


Friday, January 17, 2014

LONTONG aka LODEH




Assalamualaikum..Jumaat penghulu hari dan merupakan hari cuti peristiwa bagi negeri terpilih..Tentu ada  masak-masak istimewa untuk keluarga yang bercuti. Macam saya pagi ni hanya masak nasi goreng memandangkan nasi semalam tiada siapa yang menyentuhnya ekoran dari kekeyangan makan Lontong aka lodeh ni...
Mengapa saya tulis Lontong aka Lodeh? Separuh tempat memanggilnya Lontong dan ada yang katakan ianya Lodeh...alaaa..macam lagu Kak Nita tuuuu...Lodeh anak Mat Salleh..Nanti kalau anak-anak saya atau generasi muda yang lain mahukan resepi tak ler mereka confuse...macam kata Lisa anak bongsu saya..."ni buat saya confuse" dan tahu lah mereka nanti kedua-dua nya adalah benda yang sama...

Saya gemarkan jika lontong di sertakan dengan begedil dan serunding...tapi kali ini semua tu tak sempat hakak nak buat...so apa yang ada sajalah...untuk panduan...begedil dan serunding boleh di buat lebih awal dan di frozen kan...Sambal kacang tu pun saya dah sediakan awal...hanya defrost dan perangat kan saja...
Kali ini tak letak pula tahu kering kerana tiada stok...Apa yang pasti sayur Lodeh saya mesti ada sayur fuchuk. Itu kegemaran suami..ermmm akak jugak... Kalau masak Lontong atau Lodeh ni dapat menjimatkan masa kerana ia amat sesuai dimakan dari pagi hingga ke malam...cuma jgn lupa sering perangatkan kuah lodeh supaya tidak cepat basi...almaklum lah beraneka sayur dan bahan lain di campur bersama.


Untuk step pertama kita perlulah rebus ketupat segera atau nasi impit . Kalau nak makan pagi rebus dulu lah pada malam sebelumnya supaya ia benar-benar sejuk. Begitu juga dengan telur rebus. Kuah kacang juga lebih elok di masak awal supaya rasa kacang lebih sebati dengan kata lain lebih uummpphh la...

KUAH LONTONG/LODEH

BAHAN-BAHAN

300gm  Daging tetel
(rebus empuk)
11/2 biji kelapa parut
(ambil santan cair n pekat
anggaran 1 mangkok setiap jenis)
6 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 biji buah keras*
segenggam kecil udang kering*
1 inci halia*
3/4 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
3 batang serai*
4 baatng sayur fuchuk
(rendam lembut)
1/2 biji kecil sengkuang
1 batang kecil karot
4 helai kobis
1biji kecil terung 
2 biji cili hijau
2 biji cili merah
2 keping tahu
1 keping (plastik) tempe
sedikit fish ball/ cake
Sayuran lain jika ada.

CARA MEMASAK:-

1. Kisar bahan yang bertanda* hingga lumat. Goreng tahu dan tempe yang telah di potong berasingan. Ketepikan. Potong sayur mengikut citarasa masing-masing.

2.Tumis bahan yang telah di kisar sehingga naik bau wangi.(bahan perlu agak garing supaya naik bau wangi  kuah dan tidak mudah basi) Masukkan santan cair. Kacau rata dan bila mula mendidih masukkan daging tetel dan kesemua bahan lain kecuali santan pekat. Selalunya kalau masak yang bersantan, kuah perlulah di kacau selalu..

3. Biarkan masak sebentar dan masukkan pula santan pekat. Tambahkan garam dan sedikit gula secukup rasa. Apabila sayur agak mula layu bolehlah di tutup api.


SAMBAL SOTONG KEMBANG

BAHAN-BAHAN

2 ekor sotong kembang
6 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
15 tangkai cili kering*
(rebus sekejap)
1 labu bawang besar
asam jawa sebesar ibu jari
(cairkan dgn sedikit air)
1 inci belacan*
1 kiub ayam

CARA MEMASAK:-

1. Cuci dan potong sotong kembang. Rebus sebentar . Pastikan tidak terlalu lama merebus sotong untuk menghindar dari menjadi keras. Angkat dan toskan.

2.Kisar bahan yang bertanda* hingga halus. Tumis bahan kisar didalam minyak yang lebih sedikit. Masak sehingga cili benar-benar masak. (saya akan letakkan sedikit air apabila cili telah pekat dan masak lagi sehingga naik minyak bagi memastikan cili benar-benar masak).

3. Setelah terbit minyak masukkan garam dan gula secukup rasa, kiub ayam, bawang besar yang di hiris kasar. Masukkan juga sotong kembang. Masak sehingga kuah cili agak pekat dan sebati bersama sotong. 


Saturday, October 19, 2013

Nasi Komok Pembuka Bicara

Hampir 3 bulan saya tidak memberikan post baru dalam azian collections. Perasaan ingin berkongsi itu masih membara sebenarnya tetapi apakan daya dapur maya saya terpaksa tergendala sebentar ekoran dari dapur sebenarnya di dalam sessi pengubahsuaian. Walaupun kini belum sempurna 100 peratus tetapi Alhamdulillah saya telah dapat meluangkan sedikit waktu untuk menulis...terima kasih kepada yang sudi bertanya khabar dan yang mengunjungi Azian collections.....

Sebagai pembuka bicara saya yang dah lama tak muncul-muncul ...jom kita tengok apa yang saya masak hari ini...Nasi Komok..kegemaran saya sekeluarga. Dah lama sebenarnya tak masak Nasi Komok ni... Kali ni saya gunakan lebih rempah jadi nasinya berwarna agak pekat keperangan... Dan kali ini juga saya buatkan nasinya agak lembab/moist...berbanding yang kering. Saya nak tengok yang mana lebih digemari...nyata yang ini lebih enak...
Beginilah rupa nasi komok yang sedang ber 'sauna' di dalam 'rice cooker'.

Untuk ramuan perapan ayam.. saya tumbukkan sedikit halia, bawang putih dan bawang merah. 


Gaulkan bersama ayam yang telah dilumurkan dengan garam, sedikit serbuk kunyit dan sedikit rempah komok. Kemudian di goreng garing.

Untuk kuah/sambalnya...saya gunakan lebih cili padi (dikisar bersama sedikit air rebusan ayam tadi), gula nisan/kabung, cuka/lemon dan daun ketumbar ( kali ni guna sedikit saja). Renihkan sehingga mendapat kepekatan yang di kehendaki..


Bagi saya...kuah/sambal ini yang menjadi penyedap Nasi Komok. Ia mempunyai rasanya tersendiri. Amat enak bila di gandingkan bersama ayam goreng , sayur-sayuran dan nasi nya.

 Bawang yang garing ketika ayam di goreng turut memberikan rasa dan aroma yang enak... Mungkin ada yang mengatakan ianya seperti nasi ayam. Bagi saya ia punya kelainannya tersendiri lebih-lebih lagi jika di makan bersama kuah/ sambal nya...

NASI KOMOK 
BAHAN-BAHAN

3 Cawan beras basmathi. 
(Saya guna PUSA)
7 cawan air
3 sudu makan besar rempah komok
(campur sedikit air)
1/4 tin susu cair 
(saya guna Ideal)
2 sudu makan minyak sapi 
2 sudu makan marjerine
2 sudu makan minyak masak
1 peket kecil rempah penumis
1 kiub pati ayam
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
2 batang serai
daun ketumbar
20 tangkai cili padi
2 keping kecil gula nisan/kabung.
(boleh juga guna gula biasa)

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Cuci bersih beras basmathi dan rendam seketika (30 minit) bersama sedikit garam.
Cuci semula dan toskan.
2. Hiris 2 ulas bawang merah, 1 ulas bawang putih dan 1 inci halia.Ketepikan.
3. Kisar bawang merah, bawang putih dan halia yang selebihnya.
4. Masukkan minyak sapi, marjerin, minyak masak kedalam periuk. Tumis rempah penumis dan bahan yang di hiris tadi sehingga kekuningan. Masukkan pula bahan yang dikisar. Masak sehingga naik bau wanginya.
5. Masukkan rempah komok dan serai yang telah di titik,kacau rata. Masak di atas api sederhana sehingga keluar minyak/agak garing dan berbau wangi. (Kacau selalu supaya rempah tak hangus)
6. Masukkan air dan biarkan mendidih. Masukkan pati ayam dan garam secukup rasa. Masukkan pula ayam dan sedikit batang/ daun ketumbar. Masak sehingga ayam hampir empuk.
7. Keluarkan ayam dari periuk dan toskan. 
8. Ketepikan 2 1/2 cawan air rebusan ayam tadi. Masukkan air rebusan yang selebihnya bersama semua bahan ang ada di dalamnya kedalam rice cooker dan masukkan juga beras basmathi. Bila nampak mendidih, masukkan pula susu cair dan kacau rata. Biarkan nasi masak seperti biasa.
9. Sementara itu, kisar air rebusan ayam yang telah diketepikan tadi bersama cili padi dan sedikit daun ketumbar. Renihkan di atas api yang perlahan. Masukkan gula kabung/nisan, garam secukup rasa dan cuka/lemon. Masak sehingga mendapat kepekatan yang di ingini. Sambal/kuah harus ada rasa pedas, sedikit manis dan masam.
10. Lumurkan ayam dengan sedikit serbuk kunyit, garam dan rempah komok (saya guna dlm anggaran 2 sudu besar) serta bahan tumbuk. Perap sebentar dan goreng garing. 
11. Hidangkan bersama sayur-sayuran seperti daun ketumbar, timun atau daun salad.

Kepada yang tiada rempah Nasi Komok boleh ikut resepi yg saya perolehi dari google seperti di N3 terdahulu saya 

Thursday, July 18, 2013

Nasi Tomato dan rakan-rakan...


Assalamualaikum wbr...
Bersyukur kerana kita masih mampu berpuasa untuk sehari lagi di bulan ramadhan kali ini. Pada tahun ini aktiviti saya berblog begitu terhad tetapi buka blog tu hari-hari.... cuma masak memasak tu hanya resepi biasa-biasa yang ada di dalam azian collections saja...namun bersyukur kehadrat Ilahi kerana blog saya masih juga dikunjungi...terima kasih kalian....


Tentu ramai yang suka masak nasi tomato ya terutama anak-anak....Selalunya nasi tomato digandingkan bersama ayam masak merah. Tapi kali ini saya 'kenen' kan pula dia dengan Kurma Ayam, Ayam pandan dan Jelatah mentah (lebih kpd sos roti John).  Masak Kurma Ayam kerana anak ketiga saya Ikmal ada bercakap yg dah lama tak makan Kurma Ayam....(lebih kpd ibu dah lama tak masakkan ler...hehe) Klik SINI untuk resepi yer....


Dan yang di atas tu selera ibu...dah lama juga tak buat Ayam Pandan....Saya perap dari tengahari dan goreng pada petangnya...


Malas nak buat jelatah saya jadikan sos Roti John sebagai jelatah...senang ...tak payah banyak buat kerja! Nak buat pun senang aje....campurkan sos cili dan tomato dalam kadar yang sama. Masukkan sedikit air dan juga sedikit gula. Kacau rata dan masukkan hirisan  nipis timun muda...

Untuk resepi nasi tomato boleh lah klik SINI. Dan kalau minat nak cuba Ayam Pandan akak boleh la ikut resepi berikut ya...

AYAM PANDAN
BAHAN-BAHAN

3 ketul dada ayam
(potong kecil)
2 sudu ketumbar*
6 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
1 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
4 batang serai*
3 sudu besar paste cili
(saya guna jenama mae-phranom)
2 sudu besar sos ikan
2-3 helai daun limau purut
(hiris)
1/2 cawan santan kotak
gula secukup rasa
(saya guna gula nisan
yg dihiris)
garam dan daun pandan secukupnya.

CARA MENYEDIAKAN:-
Kisar semua bahan yang bertanda * dan masukkan kedalam bekas. Masukkan pula semua bahan lain kecuali ayam dan daun pandan. Gaul rata. Lepas tu masukkan pula ayam dan perapkan beberapa jam atau lebih elok semalaman. Bungkus dengan daun pandan dan goreng garing.


Friday, May 17, 2013

Nasi Arab


Assallamualaikum wbr...
Teringatkan Nasi Arab yang saya nikmati di Mekah ketika menunaikan umrah. Memang sedap! 
Kalau kat Malaysia ni saya selalunya melayan selera di SABA , Cyberjaya. Dan yang menjadi pilihan pertama ialah Lamb Aukdah bersama roti Arabnya yang fresh. Anak-anak selalunya mesti order nasi...tak kiralah Kabsah ke, hanith ke briani biasa ker...semuanya pada bahagian nasinya seakan serupa...


Hari ini saya sebenarnya dah kehilangan idea nak masak apa...ikut kan hati saya malas nak masak nasi sebab figura pun dah mula bam bamm...Bila ke dapur ternampakkan beras yang saya beli dari Mahnaz Food. Lalu apa lagi Nasi Arab lah jawapnya....anak-anak suka...saya? makan sikit-sikit aje la...hihihi..boleh ker dengan nasi arab? Belasah aje la labu...
Tapi kali ini saya buat yang sempoi aje...nasi dengan ayam goreng ajer. Itu yang anak-anak gemar (kes malas nak alihkan oven untuk bakar ayam punn...)


Teringin juga nak belajar memasak nasi arab dari cikgu-cikgu yang bertauliah. Belum sempat-sempat lagi...
Bila saya teliti dari resepi-resepi yang di dapati di blog juga yang di siarkan di tv,  maka terhasillah cara saya memasak nasi arab. Mungkin bukanlah cara yang sebenar, saya selesa dengan cara ini sehingga dapat belajar teknik dan resepi yang sebenarnya nanti.
Kebanyakan bahan-bahan untuk memasak nasi arab saya dapatkan di sebuah kedai arab di pasar borong Selangor seperti bunga saffron sebagai pewarna , serbuk pelaga (lama betul saya mencari..akhirnya dapat di Pasar Borong)  dan limau kering (loomy) juga rempah kabsah.

Begini rupa loomy. Rempah Kabsah saya beli dari Mahnaz Food. 



NASI ARAB
BAHAN-BAHAN

BAHAN A
3 Cawan beras
3-4 ketul ayam bahagian peha
2 tbsp minyak sapi
2 tbsp olive oil
2tbsp bunga saffron

Bahan B

3 1/2 cawan air
1 tsp rempah kabsah
1 tsp serbuk pelaga
1/2 tsp jintan putih
1 labu bawang besar
(belah 4)
1 tbsp lada hitam
1/2 kiub ayam
2 biji loomy
(cucuk cucuk sedikit)
2 helai bay leaves
4-5 biji buah pelaga
4-5 kuntum bunga cengkih

CARA:-
Cuci beras. Rendam selama sekurang kurangnya 1/2 jam  bersama 1 tbsp garam.Setelah direndam, toskan airnya. Rendam bunga saffron dengan sedikit air panas. Cuci ayam dan ketepikan. Masukkan bahan B kedalam periuk dan bila mendidih masukkan pula ayam. Biarkan merenih sehingga ayam hampir masak. Keluarkan ayam dan lumurkan dengan garam, kunyit dan sedikit cili serbuk jika suka. 
Didalam periuk lain ( saya guna periuk nasi aje) panaskan minyak sapi dan minyak zaitun. Goreng kira-kira 1 cawan beras yang di tos kan tadi sehingga kekuningan. Masukkan pula air rebusan ayam bersama bahan herba yang di rebus kecuali loomy dan beras yg selebihnya tadi.Tambahkan garam secukup rasa. Masak nasi sehingga kering airnya. Tuangkan air bunga saffron yang telah diperah dan di tapis ke atas permukaan nasi dengan sudu di beberapa bahagian. Tutup periuk dan teruskan memasak. Untuk mendapatkan bau 'asap' Saya masukkan sedikit minyak zaitun ke dalam bekas kecil dari aluminium foil dan di letakkan di tengah tengah nasi. Bakar sekeping kecil arang sehingga berbara dan masukkan kedalam bekas aluminium foil tadi. Ini akan mengeluarkan asap. Tutup periuk dengan aluminium foil kedap-kedap sebelum ditutup dengan tudung periuk. Goreng ayam garing. Hidangkan bersama bawang besar dan cili hijau ( kurang uummpphh tanpa kedua-duanya) serta Salatah.

SALATAH
BAHAN-BAHAN

3 biji tomato
6 tangkai cili akar
2 ulas bawang putih
2 tbsp minyak zaitun
daun ketumbar
(saya tiada stok)
garam/gula
lemon

CARA:-

Buang biji tomato. Satukan di dalam blender bersama cili,bawang putih, daun ketumbar dan minyak zaitun. Kisar kasar. Perasakan dengan garam , sedikit gula dan perahan lemon.

Sunday, May 12, 2013

Nasi Dagang Kerabu Mangga


Assalamulaikum semua... Hari cuti macam ni tentu makan tengahari pun istimewa lebih sikit ya. Itu untuk orang yang bekerja...yang macam saya ni kalau hari cuti tu kalau boleh nak makan kat luar jer... Hari-hari masak boring juga... nak juga rasa atau timba idea memasak dengan makan kat luar kan kan kan...
Lepas tu boleh la praktis kat rumah...betul tak....
Tapi hari ni akak terlebih rajin sudah! Bangun pagi dah rendam beras nasi dagang yang dibeli masa ke Terengganu duluuuuu...nasib baik beras tu di simpan dalam fridge jadi tak terjejas langsung.
Lepas tu, sarapan pagi tembosa inti ikan dan karipap kentang bersama secawan kopi...homemade tau! Kan akak dah kata tadi hari ni memang terlebih rajin!



Sebenarnya dah lama plan nak masak nasi dagang ni. Ikan tongkol pun dah ada dalam fridge. 
Cuma kerajinan tu aje yang belum datang lagi. Hari ini saya berjaya meleraikan rantai kemalasan...Chewahhh...
Siap buat Kerabu Mangga lagi tu....ish ish ish dalam tak sedar berjaya juga saya dok meracik bahan-bahan untuk buat kerabu tu... Ini pun kes tertangguh...Sayang betul mangga dua biji yang datang jauh dari Kedah di bawa oleh teman suami. Sebiji sampai dah masak...hehe. Nasib la yang sebiji ni besar betul. Saya simpan dalam peti sejuk itu pun dah tinggal sebelah. Sebelah lagi tu dah kena buat cicah dengan sambal Mak Bee.
Tak ramai kat rumah ni yang minat kerabu...sebelah pun cukup!
Untuk Gulai Ikan Tongkol saya guna rempah yang di beli dari Kelantan. Memang lain lah rasanya dari rempah kari yang kita beli kat supermarket tu... tapi kalau dah tak da saya belasah ajer....


Perasan tak pinggan yang saya guna tu...Lama betul usia nya...
Pemberian arwah ibu mertua saya masa baru kahwin dan duduk rumah sendiri dulu...itu pun dah lebih 22 tahun...

Kepada yang nak cuba masak nasi dagang and the gang ni, boleh la rujuk kat bawah ni ya. Tapi cara akak la ya...


NASI DAGANG
BAHAN-BAHAN
3 cawan beras nasi dagang
(rendam 2-3 jam)
3 ulas bawang merah kecil
1/2 inci halia
( saya kurangkan sbb guna halia bentong)
1/2 tsp halba
2 cawan santan pekat
garam secukup rasa
2 helai daun pandan

CARA:-
Panaskan kukus. Masukkan beras kedalam loyang dan masukkan juga sedikit air(1/4 dari aras beras) dan daun pandan yang di simpul.       
Kukus sehingga beras agak lembut. Sementara itu masak santan bersama hirisan halia dan bawang kecil, halba serta garam. Kacau selalu supaya santan tak berkerak di bawah. Tak perlu lama cukup sekadar santan mula mendidih. Keluarkan loyang dari kukusan dan Gaul ratakan bersam santan tadi. Kukus semula sehingga nasi benar-benar masak/lembut.



GULAI IKAN TONGKOL
BAHAN-BAHAN

I ekor ikan tongkol
1 peket rempah 
1 tsp halba
3 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
5 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 batang serai
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 tbsp kerisik
2 keping asam gelugur
sedikit guka nisan
6-8 tangkai cili akar
bawang besar

CARA:-
Bersihkan ikan tongkol dan kukus hingga masak.(saya letak kan asam gelugur atas setiap ikan)
Kisar 4 ulas bawang merah kecil, 1 ulas bawang putih, halia, serai dan lengkuas .Bawang selebihnya tadi di mayang halus. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan halba serta bawang merah dan putih yang di mayang hingga kekuningan. Masukkan bahan yang di kisar dan masak sehingga naik bau. Masukkan rempah yang telah di bancuh dengan sedikit air. Masak sambil di kacau selalu sehingga garing/ pecah minyak ( hati-hati jangan hangus nanti kuah jadi pahit. Masukkan santan cair, santan pekat, kerisik dan gula nisan, asam gelugur serta garam. Apabila kuah agak pekat, masukkan ikan tongkol, cili akar dan bawang besar yang di hiris kasar. Masak sebentar dan boleh lah di angkat.

#saya juga letak telur rebus yang di goreng dahulu kedalam kuah.


KERABU MANGGA
BAHAN-BAHAN

1/2-1 biji mangga
1/2 biji timun
(buang empulur)
1 biji tomato kecil
(buang biji)
2 batang serai
1 batang bunga kantan
3 helai daun limau purut
1 biji cili merah
4 tangkai cili padi
5 ulas bawang merah kecil
1 biji lemon
1/2 cawan ikan bilis kecil
(digoreng)
1/2 cawan kacang tanah
(goreng dan tumbuk kasar)
3 tbsp udang kering
(basuh, goreng dan tumbuk)
2 tbsp fish sauce
2 tbsp gula
garam jika perlu

CARA:-
Sagat/ racik halus mangga, timun, tomato, serai, daun limau purut, bunga kantan, cili api dan cili merah serta bawang merah kecil. Satukan kesemua bahan dan perahkan lemon , gaul rata. Kerabu yang sedap seimbang kesemua rasanya.



Friday, December 14, 2012

PULUT KUNING & RENDANG AYAM KENANGAN



Assalamualaikum ...
Pulut kuning penyambung N3 untuk blog Azian Collections. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pengunjung yang setia singgah walaupun telah sebulan tiada N3 terkini. 
Sokongan dan kunjungan menguatkan semangat saya untuk menulis membantu mereka yang ingin memasak.
Terakhir saya bersiaran adalah ketika anniversary saya yang ke22 tahun iaitu pada 11/11 yang lalu. 
Sesungguhnya pada bulan 11 tahun ini begitu banyak perkara yang telah terjadi selanjutnya akan secara tidak langsung menjawab mengapa saya menyepi diri agak lama....Izinkan saya bercerita sekadar melepas rasa berat di dada dan suatu waktu nanti bila saya terbaca artikal ini kembali ,saya akan dapat mengingatkan apa yang saya lalui pada bulan November 2012...

Pada awal nya saya gembira menyambut ulangtahun perkahwinan dan menerima berita kejayaan anak pertama saya Ashiqin di dalam peperiksaan semester akhirnya di universiti. Juga anak keempat saya Ariff Imran di dalam peperiksaan PSRA dan UPSR. Betapa gembiranya saat itu bagi seorang ibu bila anak-anaknya berjaya cemerlang. Maka saya menyediakan Pulut Kuning tanda kesyukuran untuk di beri kepada jiran tetangga juga guru mengaji anak saya yang kebetulan juga Imran telah khatam quran sebelum tarikh keluar keputusan peperiksaannya.

Dalam riang itu saya juga berduka apabila kami mengadakan majlis Yaseen untuk arwah emak yang telah pergi kerahmatullah pada 24/11/11,Genap setahun emak meninggalkan kami . Rasanya seperti baru semalam kami kehilangan ibunda tercinta. Kesedihan tambah menenggelamkan segala kegembiraan sebelumnya apabila abah yang saya sayangi pergi mengadap Ilahi genap setahun 2 hari emak pergi. Pada 26/11/12 di hadapan kami 3 beradik (kakak ke 2 tak sempat) dan cucu-cucunya, abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saat itu hanya Allah yang mengetahui apa yang saya rasai...
Apapun saya akur kehendak Ilahi walaupun segalanya agak mengganggu emosi saya sehinggalah ke saat ini.

 
Al Fatehah untuk kedua ibu bapa saya Hj Daud bin Kulop Melaka dan Hjh Mahayah bte Hj Abd Rahim.


Pulut kuning atau ada yang panggil Pulut Semangat ini saya berikan kepada jiran tetangga. Kalau selalunya saya sering gandingkan dengan Rendang Daging Minang, kali ini saya masak Rendang Ayam yang seperti selalu emak saya buat terutamanya apabila menjelang hari raya. Rendang yang di masak seperti ini tetapi menggunakan ayam kampung atau ayam telur memang tak tinggal . Kali ini saya guna ayam daging ajer.
Rendang sebegini memang cepat di masak berbanding Rendang Minang lebih-lebih lagi kali ini saya mahukan ianya agak berkuah sedikit supaya boleh bersalut dengan Pulut Kuning yang lemak-lemak lembut gitu.
Bak kata teman jiran, memang marbeles la...dan diminta agar resepinya di muat turun kan di sini....


RENDANG AYAM KENANGAN
Sumber: Arwah Hjh Mahayah

BAHAN-BAHAN

1 ekor ayam

1 kilo santan

2 peket kerisik

10 tangkai cili kering*

10 ulas bawang merah*

3 ulas bawang putih*

1 1/2 inci halia*

1 1/2 inci lengkuas*

6 batang serai*

2 helai daun kunyit* 
( hiris halus /siat kasar)

1 inci kunyit hidup*

sedikit cili api*
(jika suka pedas)

3 sudu rempah daging*

Asam keping, gula,

CARA MENYEDIAKAN

1. Kisar semua bahan yang bertanda *. Masukkan kedalam kuali.

2. Masukkan pula ayam yang telah di potong dan di cuci. Perapkan sebentar di atas api bersama bahan kisar sehingga ayam agak kecut dan keluar air ayam.

3. Masukkan santan. Gaul rata. (saya keluarkan ayam waktu ini kerana ayam daging mudah lembut dan hancur. Jika guna ayam kampung atau ayam tua tak perlu di keluarkan)

4. Teruskan memasak kuah tanpa ayam. Bila menggeleggak, masukkan kerisik, garam ,sedikit gula (saya guna 1/4 ketul gula kabung) dan 2 keping asam keping.(saya juga masukkan seketul stok ayam sebagai perasa) 

5. Masak sehingga kuah mulai memekat sambil di kacau selalu supaya kuah tidak hangit dan berkerak di bahagian bawah kuali. Masukkan ayam ketika ini dan masukkan juga hirisan kunyit.(saya campakkan juga 2-3 helai daun limau purut)

6. Masak sehingga ayam betul-betul empuk tetapi berkuah.


PULUT KUNING

BAHAN-BAHAN

1Kilo Pulut Susu

3 keping asam gelugur

santan pekat dari 2 biji kelapa.

Daun pandan

2 sudu besar kunyit serbuk
( warna akan lebih cantik jika guna kunyit hidup)

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Rendam pulut didalam air yang di campur kunyit menutupi pulut . Masukkan asam gelugur dan rendam semalaman.

2. Panaskan kukusan. Masukkan sedikit daun pandan kedalam air kukusan.

3. Cuci pulut sehingga hilang serbuk kunyit yang tertinggal dengan menggunakan tapisan. 

4. Alas kukus dengan kain maslin dan masukkan pulut yang telah di bersihkan tadi, letakkan juga sehelai dua daun pandan di atas pulut supaya wangi. Kukus selama 30 minit.

5. Sementara itu, gaulkan sedikit garam bersama santan pekat. Biar agak berasa garam pada santan tersebut.

6. Angkat pulut dan masukkan kedalam besen. Gaulkan santan rata-rata dengan hanya separuh sahaja dari santan yang ada. Masukkan kedalam kukusan dan kukus semula selama 30 minit.

7. Angkat semula kukusan dan ulangi proses menggaul santan bersama pulut dan kukus semula selama 15 minit. 

8. Angkat dan boleh la dihidang bersama rendang.



Sunday, November 11, 2012

Nasi Komok terkini...


Assalamualaikum..
Nyaman sungguh di pagi Ahad ini. Moga hari bertambah ceria dengan anak-anak yang semuanya dah berkumpul cuti sekolah la katakan...
Ada yang masak ker hari ni atau kemajlis makan kenduri ajer? Cuti-cuti ni tentu banyak terima jemputan ya..
Hari ini juga merupakan hari istimewa bagi saya dan suami. 11.11.12 merupakan ulangtahun bermulanya kami memikul tanggung jawab yang begitu berat sebagai suami isteri...


Ni lah, saja nak share Nasi Komok saya yang terkini. Ada sedikit penambahan yang saya buat dalam memasak nasinya. Bila makan nasi tentulah kita nak yang lembut tapi berderai..
Kombinasi petua yang saya ambil dari sedara mara yang biasa memasak. 


Saya amat bersyukur kerana di pertemukan dengan rakan Fb yang sudi tolong membelikan rempah Nasi Komok walaupun saya tak pernah berjumpa beliau.Terima kasih banyak-banyak Aida... Kebetulan stok Nasi Komok saya dah kering. Anak-anak saya memang suka sangat makan Nasi Komok ni. Si kakak lebih suka Nasi Komok dari Nasi Arab sebab terasa rempah pada nasinya dan bersos pedas yang kena pada seleranya. Jadi tak perlulah saya masak yang lain sebab Lisa, anak saya yang paling kecil boleh makan nasinya dengan ayam sahaja. Senang kerja akakkk!


Pesanan kepada kawan-kawan yang dah dapat rempah Komok tu...Rempah sudah ada (yg tak da rempah asli komok boleh klik SINI...resepi terkini pun dah ada....apa lagi godek-godek la ya...try dulu buat dengan resepi diberi terutama sosnya. Kalau tak puas hati lepas tu bolehlah tokok tambah dengan citarasa sendiri. Nasi Komok ni kesedapan nya adalah apabila sosnya yang umpph dengan rasa ketumbar dan pedas secukup rasa diganding dengan nasi yang berempah dan ayam goreng. Bagi saya peminat daun ketumbar, adalah nikmat bila daun ketumbar di kunyah bersama...

NASI KOMOK
BAHAN-BAHAN

1 ekor ayam 

3 sudu besar rempah Komok

4 cawan beras basmathi

6 cawan (cwn sama ukuran beras)+ 1 mangkuk air

rempah penumis
(1 kayu manis, 3 bunga lawang, 3 pelaga, 5 cengkih)

6 ulas bawang merah*
(2 ulas di mayang halus)

3 ulas bawang putih*
(1 ulas dimayang halus)

1 1/2 inci halia
(1/2 inci dimayang halus)

2 sudu minyak sapi

2 sudu marjerine

2 sudu minyak masak

1/2 tin susu cair

BAHAN UNTUK SOS

 8-10 ulas cili padi

2-3 biji cili merah

5 tangkai daun ketumbar

2 sudu cuka

garam dan gula secukup rasa


CARA PENYEDIAAN:-

1. Potong ayam(selalunya saya potong 16) cuci dan toskan. Cuci juga beras basmathi, rendam selama 10 minit dan toskan.

2. Kisar bahan yang bertanda *.

3. Panaskan minyak sapi, marjerine. dan minyak. Bila dah cair masukkan rempah penumis dan bahan yang telah di mayang halus masak sehingga kekuningan.

4. Masukkan pula rempah komok yang telah di bancuh bersama sedikit air. Kacau rata dan masukkan air.

5. Apabila air menggelegak, masukkan ayam. (saya masukkan juga batang, akar  serta sedikit daun ketumbar)

6. Apabila ayam telah hampir masak, keluarkan dari periuk dan biarkan sejuk. Bila dah sejuk, gaulkan dengan sebuk kunyit dan garam (kali ini saya lumurkan juga dengan sedikit rempah komok)

7. Goreng ayam kekuningan tetapi jangan terlalu garing nanti ayam menjadi agak kering.

8. Keluarkan semangkuk air rebusan ayam untuk sos. 

9. Masukkan beras kedalam periuk nasi dan curahkan kesemua bahan dan air rebusan ayam tadi.

10. Masukkan juga susu cair dan garam secukup rasa. Biarkan nasi masak dan kering.

11. Kisar cili dan daun ketumbar bersama air rebusan ayam yang di ketepikan tadi. 

12. Masak di atas api perlahan sehingga mendidih. Apabila telah mendidih, masukkan cuka, gula dan garam secukup rasa. Renihkan sehingga kuah agak pekat.

13. Hidangkan Nasi Komok bersama daun salad, ketumbar dan timun.

# Enak juga dimakan bersama kerabu mangga.
Penggunaan marjerine melembutkan lagi nasi.


Tuesday, August 21, 2012

KETUPAT GORENG ala LO BAK KO




Assalamualaikum wbr...
Tentu ada yang masih di kampung ya bersama sanak saudara berkumpul. Dan bermulalah rutin kaum ibu kembali menyediakan sarapan kepada semua. Sarapan ramai-ramai memang seronok. Selalunya bila dah raya ketiga ni Nasi Goreng la jadi menu..ya lah dah ramai menu itulah yang paling mudah.
Masih ada ker ketupat yang tak habis tu?... Kalau masih elok jangan di buang! Cer try masak macam yang saya buat ni...Ramai yang dah selalu buat tapi hakak nak bagi idea jugak la kepada yang belum pernah buat tu.... Kata orang kita pelbagaikan supaya tak membazir pas tu sedap pulak!

Walaupun duk rumah sendiri saya masih menganyam ketupat untuk pagi raya tempohari. Lepas sembahyang raya dan hantar anak sulong saya ke tempat kerja kami terus balik kampung. Tak jauh ...sekitar KLIA ajer....Jadi saya tinggalkan 4-5 ketul dirumah. Bila dah balik tu siapa pun tak nak makan sebab dah kekenyangan....jadi saya simpan dalam fridge. Malam tadi tak tau nak masak apa...Tu yang timbul idea nak masak Ketupat goreng ala mamak. Bila dah masak suami saya kata macam rasa  Lo Bak Ko kegemaran dia pun ada...Kalau yang tak tau apa Lo Bak Ko tu boleh la pi rasa kat sebuah Kopitiam (ala ...lupa pulak namanya) yang terletak kat basement plaza Masalam Shah Alam. Kat situ ada halal punya....
Memang sedap! Cara memasaknya ala-ala menggoreng mee mamak gitu....Jom cuba....



BAHAN-BAHAN

5 ketul Ketupat

3 Sudu besar cili kisar

5 Ulas bawang merah

3 Ulas bawang putih

100 gm isi ayam 
5-6 ekor udang

 3 keping fish kek

1 keping tahu

Sos tiram

Sos cili

Kicap manis/masin

kiub ayam

Telur

Taugeh

CARA MEMASAk
  1. Potong ketupat, tauhu,isi ayam, isi udang dan fish cake kepada kiub kecil.
  2. Goreng sebentar isi ayam, isi udang dan goreng garing tahu. Ketepikan
  3. Tumbuk bawang merah dan putih. Tumis dengan sedikit minyak hingga naik bau/kekuningan.
  4. Masukkan cili kisar dan masak hingga garing.. Masukkan sos tiram, sos cili   kicap manis / masin dan kiub ayam Kacau rata.
  5. Masukkan pula lontong dan kacau rata. 
  6. Ketepikan sedikit lontong dan pecahkan telur( guna 4 biji telur) dan biar dia agak masak baru di gaul bersama lontong.
  7. Masukkan pula taugeh dan masak sebentar hingga taugeh agak layu. Angkat dan hidang bersama taburan bawang goreng dan daun bawang.




Tuesday, June 5, 2012

NASI TOMATO TUMIS DARAT


Assalamualaukum...

Wah ceria ajer hari ini ya...Tinggal beberapa hari saja lagi anak-anak dapat bersama kita ya...

Bagi yang tak dapat bersama kerana anak di asrama ...Yang semuanya ada pulak inilah waktu anak-anak 

dapat meluangkan lebih masa dirumah dan menikmati hidangan yang kita masak. Kalau tak asyik touch n go

 ajer! Memanjang tak sempat...




Ni la....apa lagi....Nasi Tomato saya hidangkan untuk dia orang tu....Tapi Set Nasi Tomato ni lebih istimewa.

Ya la memasaknya pun lama .... sampai di tegurlah oleh Imran anak ketiga saya.... Kenapa hari ni ibu masak 

lambat nak siap. Alahai anak ku...hari ini ibu terlebih rajin la....

Siap buat kerisik bagai....hai tu la yang lambatttt...

Kali ini set nasi Tomato saya merangkumi Nasi, ayam masak merah bersantan , nenas masak senyum dan

 kari telur berkerisik....

Memang sedaaaapp gabungan tu semua...bak kata suami saya, makan dengan nenasnya ajer pun sedap,

 dengan kari telur lagi sedaaapp..Mentang-mentanglah dia suka kan kari telur....hehe

Jom kita tengok resepi Nasi Tomato saya kali ini... untuk lauk pauknya akan menyusul di N3 akan datang yer....





NASI TOMATO
(tumis darat)

BAHAN-BAHAN

2 biji bawang besar* 
(sederhana besar)

5 ulas bawang merah*

2 ulas bawang putih*

4 pot beras basmathi
(pot periuk nasi)

4 pot air

1 batang kulit kayu manis

4 biji buah pelaga

2 kuntum bunga lawang

5-6 tangkai bunga cengkih

1/4 cawan susu cair

1 tin kecil tomato puree

1 sudu cili sos

1 helai daun pandan

2 sudu minyak sapi

1 sudu marjerine
( utk melembutkan nasi)

2 sudu minyak masak

sedikit kismis

gajus yg telah di sangai

CARA MEMASAK:-

1. Kisar bahan yang bertanda *.

2. Cuci beras basmathi dan masukkan air secukupnya kedalam periuk nasi. Rendam selama 10 minit  sementara kita menyiapkan bahan yang lain dan boleh la di on kan selepas itu.. 

3. Panaskan minyak sapi,minnyak masak dan marjerine didalam kuali.

4.Masukkan kesemua rempah penumis dan juga bahan yang dikisar. Tumis sehingga berbau wangi.

5. Masukkan tomato puree, cili sos dan daun pandan. Gaul sebati dan masak sebentar. 

6. Masukkan 1 tsp garam dan gaul rata.

7. Masukkan bahan sos kedalam periuk berisi beras basmathi tadi. 

8. Seteleh menggelegak bolehlah di masukkan susu cair. Tutup tudung periuk dan biarkan nasi masak seperti biasa.

9. Taburkan kismis sebelum mengais nasi.