Showing posts with label ROTI. Show all posts
Showing posts with label ROTI. Show all posts

Tuesday, April 22, 2014

Roti Sarang Lebah

Assalamualaikum wbh,
Fenomena Roti Sarang Lebah mengambil tempat di kala ini. Pada mulanya saya tidak berminat mahu mencuba. Tetapi bila sana sini asyik dok tayang roti lebah ni..teringin jugak akak...
Memang ngences la kata orang bila tengok roti yang di tabur kekacang ranggup dan di selaputi pula dengan 'madu' aka butterscotch.


Terima kasih kepada yang membawa gelombang Roti Sarang Lebah ini iaitu Lydia Honey. Blogger masakan yang sering berkongsi resepi masakan dari middle east.

Bila di selaputi 'madu' ianya bertambah rasa berlemak. Butterscotch saya masih suam ketika ini dan teksturnya lebih cair. Jika di simpan di dalam peti sejuk ianya akan memekat.
Untuk butterscotch nya saya gunakan whipping cream mengantikan evoporated milk. Warnanya pula bergantung kepada jenis brown sugar yang di gunakan. Saya hanya guna light brown sugar jadi warnanya agak cair. Lepas ni boleh la cuba pula karamel butterscotch..

Kali pertama ini saya mencuba dengan resepi yang biasa di buat. Cuma saya tukarkan air kepada yogurt sahaja . Taburan di atasnya terpulang kepada citarasa masing masing...Saya taburkan pumpkin seed, almond flakes, raisin, walnut dan coklat chips. Itu yang ada di dalam peti sejuk lebihan bahan yang tersimpan.

ROTI SARANG LEBAH
SUMBER IDEA: Lydia Honey
RESEPI: http://aziancollections.blogspot.com/2010/10/aneka-roti.html


BAHAN-BAHAN : 250 gm tepung roti. 1 sudu kecil (tsp) susu serbuk. 30 gm gula kastor. 6 gm (1/2 peket) yeast. 100ml air ais
(saya ganti dgn yogurt). 30 gm butter/marjerin. 20gm telur(1/2 biji telur). 1/4 tsp bread improver. Secubit garam
CARA:- 



Saya masukkan kesemua bahan kecuali butter di dalam mixer seperti di atas. Saya gunakan mixer berkapasiti tinggi. Teruja punya pasal ketika belajar membuat roti beberapa tahun yang lalu saya beli juga mixer China Brand ini dengan harga yang murah. Tapi memang berbaloi membelinya...
Apabila telah sebati adunan tersebut, masukkan pula butter dan putar lagi sehingga adunan licin dan elastik. Untuk pastikan adunan dah cukup di uli, ambil sedikit adunan dan tarik nipis. Jika permukaan seperti adunan roti canai (tidak berlubang) bermakna adunan telah sempurna di adun.

Keluarkan dari mixer dan bentukkan bulat adunan. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan tutup dengan kain maslin lembab. Saya tidak punya proofer, maka saya jemurkan roti di kawasan berbahang atau di bawah matahari. Proses pengembangan akan lebih cepat. Bila doh naik 2 kali, tumbukkan untuk membuang angin. Timbang 20 gm setiap satu dan taburkan sedikit tepung di landasan, bulat-bulatkan dengan tapak tangan. Geseran memusing antara tapak tangan dan permukaan landasan akan menghasilkan roti yang bulat licin. Susun doh seperti honeycomb. Perap doh selama 20-30 minit, Sapukan eggwash ( telur + susu).
Taburkan kekacang dan  coklat chips. Bakar selama 30-40 minit 160 darjah celcius.(ikut oven masing masing ya)
Keluarkan dari oven dan curahkan butterscotch jika mahu makan panas-panas. Boleh juga di curah apabila perlu sahaja untuk mengelakkan roti jadi kembang.

BUTTERSCOTCH

BAHAN-BAHAN: 1 kotak whipping cream, 1/2 cawan brown sugar, 1 tsp esen vanila, 2 tbsp butter.
CARA: Satukan butter dan gula. Masak di atas api perlahan sambil di kacau. Apabila mula larut (masih ada gula tak larut pun tak pa) masukkan sedikit dahulu whipping cream dan kacau rata. masukkan sedikit lagi dan kacau rata lagi. Buat sehingga cream habis. Masak dan kacau sehingga gula larut kesemuanya. Angkat dan sejukkan supaya butterscotch lebih pekat.

Friday, April 11, 2014

Shawarma Kebab


Bila saya di beritahu oleh anak saya Ikmal bahawa teman nya sukakan Shawarma Kebab yang saya buat dulu, saya teringatkan yang post untuk itu sebenarnya telah di sediakan. Saya terlupa nak upload..masyaAllah!

Kami sekeluarga memang suka makan kebab...tak kiralah apa jenis kebab. Ikmal bercerita bahawa kawanya suka makan kebab ibu yang ada terung goreng..sebenarnya memang kami pun suka! 

Teringat saya ketika di Mekah tahun lepas...saya teliti apa yang ada dalam kebab tu...memang dah target bila balik nanti nak buat seperti itu...kalau pun tak serupa, hampir sama pun dah cukup baik...
Bila makan di Saba Cyberjaya...begitu juga...alamak lamanya tak makan kebab kat Saba...


Saya sering memborong bahan makanan arab di Mahnaz Shah Alam.. Di situ dah jadi tempat saya mendapatkan roti pita /wraps , rempah ratus Arab, kurma, jus buah buahan dan sebagainya...

Oleh kerana anak-anak saya kurang suka serabut (sayur ler) maka saya hanya letak terung goreng aje...
Shawarma saya ni hanya ada fish finger dan chicken nugget..itu aje yang ada dalam fridge...jadi la...
next time boleh target bila panggang ayam..boleh juga buat Shawarma..                                               

memang mudah nak buat, hanya perlu gorengkan fries, nugget, fish finger dan terung. Potong seperti jejari susun elok elok di atas wraps dan taburkan sedikit daun ketumbar (penyedap rasa). Picitkan thousand island/ mayonies,sos cili (citarasa malaysia) dan sedikit olive oil jika ada. Gulungkan dan grill sebentar di atas grill pan...
So simple tapi sedap dan kenyang...
Jamu mata ajelah kita ya...ni gambar lama... esok-esok kita buat ya...

Wednesday, July 24, 2013

Sardin Roll



Assalamualaikum...
Ramai sangat peminat Sardin Roll dalam rumah saya ni...Kalau buat kuih ni tidak lah risau ia tak habis... Kalau jalan-jalan di PARAM juga ramai yang jual kuih ni...tapi tak semuanya memenuhi citarasa kita kan..
Lebih tak memuaskan hati bila kebanyakannya 'banyak minyak'.


Selalunya jika buat Sardin Roll saya tak masak intinya sebaliknya  saya buat macam inti sandwich aje. Tapi kali ini terasa nak buat version 'ter rajin' pula... Intinya saya masak dulu macam sambal sardin yang di hancurkan. Dan satu lagi...saya lebih suka kalau roti tu digelek bagi nipis dulu berbanding di biarkan begitu saja kerana ia lebih menyerap minyak.Kalau nak hasil yang cantik kenalah guna roti yang agak lembap dan lembut seperti Gardenia. 


Kepada adik-adik yang nak cuba buat bolehlah ikut resepi di bawah ye...

SARDIN ROLL

BAHAN-BAHAN

1 tin kecil sardin

2 ulas bawang merah

1 ulas bawang putih

1 1/2 tbsp cili serbuk

1 tsp sos tiram

1 tbsp sos cili

1/2 keping asam keping

1 biji bawang besar
(hiris kasar)

sedikit gula dan garam secukup rasa

Sebuku kecil roti gardenia

2 biji telur

CARA MENYEDIAKAN:-

Pisahkan isi sardin dari kuahnya. Hancurkan kasar-kasar isinya. Tumbuk bawang putih dan bawang merah hingga lumat. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan yang di tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili serbuk dan kacau rata. Tuangkan sedikit air kedalam kuali supaya serbuk cili rata dan sebati. 
Masukkan sos tiram, sos cili dan asam keping juga sedikit gula dan hanya sedikit garam . Kacau rata dan masak sebentar. Kemudian masukkan pula bawang besar dan isi ikan sardin.
Masak sehingga ia sebati dan agak kering. Angkat dan ketepikan.
Gelek permukaan roti gardenia sehingga habis. Isikan inti dan naikkan sedikit permukaan roti di bahagian kiri dan kanannya kemudian gulung roti. Buat sehingga habis. Pecahkan telur dan taburkan sedikit garam dan lada sulah. Kocok telur sebentar. Celup roti satu persatu dan goreng di dalam minyak yang panas. Balik-balikkan dan masak sehingga kekuningan. Angkat dan toskan di atas kitchen towel.


Friday, July 19, 2013

ROTI JOHN


Dalam bulan ramadhan memang tak sah kalau tak buat Roti John. Tapi kali ini memang totally plain ajer tanpa mayonise atau mustard. Sedap dimakan bersama sos yang ada timun. Selalunya bila kita makan Murtabak Singapore pasti ada sos bertimun begitu. Ini favorite cik abang saya...dulu-dulu katanya selalu makan bila anak-anak saudaranya dari Singapore masak...So saya pun dah terikut jugalah dengan kegemarannya...sementelah lagi ianya sememangnya sedap dan tak muak berbanding yang di letakkan mayonise. Lebih terasa enak bila di makan bersama sos yang ada timun di dalamnya....


Menggunakan roti baguette atau ada yang panggil roti Perancis, kalau satu batang yg panjang tu cukuplah satu hidangan kami sekeluarga sebelum menjamah nasi. Oleh kerana gemarkan Roti John...sahur pun saya dok masakkan mereka roti John juga...
Kali ini saya buat perubahan sedikit...saya gunakan rempah beriani berbanding rempah kari seperti yang biasa saya gunakan...rasanya tentulah lebih enak!


Senang aje nak buat sos timun ni...hanya satukan cili sos dan tomato sos. Tambahkan sedikit air biar cair sedikit. Perasakan juga dengan sedikit gula. Kemudian masukkan hirisan nipis timun dan gaul sebati...

ROTI JOHN

BAHAN-BAHAN

1 batang baguette

1 labu bawang besar
(cincang)

1 tbsp rempah beriani

300 gm daging cincang

4 biji telur

daun bawang/sup
(cincang)

sedikit marjerine

CARA MEMASAK:-

Satukan kesemua bahan kecuali baguette dan marjerine.Perasakan dengan garam secukup rasa.Gaul rata . Potong baguette mengikut besar yang dikehendaki dan belah dua tengahnya tanpa putus.Panaskan sedikit marjerine di atas kuali leper. Ratakan satu senduk campuran daging di atas kuali dan tekapkan roti di atasnya. Masak sehingga daging masak atau garing kekuningan. Terbalikkan dan masak sebentar. Bolehlah di angkat dan di hidang bersama sos bertimun.

Monday, October 15, 2012

Homemade Bun..


Assalamualaikum...
Petang tadi saya dan keluarga minum petang dengan bun buatan sendiri. Sejak sehari dua ni ada antara anak saya yang menyebut dah lama tak makan bun kacang merah yang ibu buat. Memang ya ...agak lama juga saya tak meroti. Selalunya masa tidak mengizinkan saya berlama-lama di dapur tu... tetapi hari ini dengan perancangan jadual yang rapi dapat jugalah saya membuat bun kacang merah dan sausage bun kegemaran anak-anak. Kebetulan hari ini abahnya balik just in time sausage bun saya baru jer keluar dari oven.. so dapatlah merasa bun yang panas bersama secawan teh o.


Saya gemarkan bentuk bun kacang yang begini...cantik ajer rupanya....


Ini pula sausage bun kegemaran ramai.. keluar aje dari oven gerenti kena ngap!
Setiap kali saya buat roti yang ini wajib! kalau tak bingitlah telinga mendengar soalan 
"roti sausage tak da ke bu...?"


Dalam banyak-banyak kelas masakan yang saya sertai rasanya kelas membuat roti lah yang paling berbaloi..
Ilmu yang di pelajari paling kerap saya gunakan dan berpuas hati. Cuma di masa akan datang teringin juga mempelajari teknik membuat roti dari guru yang berlainan. 


Dengan doh yang sama kita boleh bentuk beraneka jenis Bun...realisasikan lah bakat terpendam pada doh...
Kalau kita geram nanti kita makan dia....hehehe...
Kepada yang ada anak-anak kecil pasti mereka akan kagum jika kita buat roti begini. Saya sendiri pernah mengalaminya...


Resepinya sama ajer macam yang dulu-dulu. Saya catat kan juga di sini semula.... Selamat mencuba.


HOMEMADE BUN

BAHAN-BAHAN

250 gm high protein flour

1 tbsp susu tepung

30 gm gula pasir

6 gm dry yeast

100 gm air ais

30 gm mentega

1/4 tsp bread improver

20 gm telur
(saiz kecil)


CARA PENYEDIAAN:

1. Satukan kesemua bahan kecuali mentega. Uli doh sebentar. Kemudian masukkan mentega
dan uli lagi sehingga doh nampak berkilat.
(saya guna mixer)

2.Masukkan adunan kedalam mangkuk yang besar dan tutup dengan kain maslin yang basah atau cling wrap.  Perap adunan doh sehingga naik 2 kali ganda. 

3. Tumbuk-tumbuk doh dan bahagi doh samarata besarnya (dlm 40 gm). Bentukkan bulat-bulat dengan telapak tangan supaya licin permukaan bulatan doh tersebut. Buat sehingga habis. Rehatkan sebentar dalam 10 minit.

4. Bentukkan doh mengikut citarasa masing-masing. Jika ingin membuat sausage bun, canai doh berbentuk seperti tali dan lilit pada sausage.( sausage tak perlu direbus) Perap sebentar supaya doh naik.
Begitu juga jika kita bentuk doh menggunakan kacang merah atau yang lain.

5. Panas kan oven 10 minit lebih awal pada suhu 160darjah celcius.

6. Sapukan egg wash (telur + 2 sudu susu cair) dan taburkan bijan jika suka.

7. Bakar selama 20-30 minit mengikut oven masing-masing.

8. Angkat dan sapukan mentega pada permukaan bun supaya berkilat. Sejukkan.


Thursday, July 26, 2012

ROTI JOHN BERCHEESE


Alhamdulillah dah puasa ke 6 kita... Dah pergi tinjau-tinjau kat bazar ramadhan ker? Selalunya kalau pergi

 ke bazar ramadhan, saya dan suami akan cari sesuatu yang special atau yang lain dari yang lain. Bila pergi 

 dengan anak-anak, saya akan jadi seperti seorang ibu yang kedekut! Bukan apa selera anak-anak kalau

 pergi ke bazar macam tak makan seminggu! Semua nampak sedap tapi bila beli akhirnya masuk tong

 sampah. 


Kalau gerai roti John mesti penuh ajer apalagi kalau ada kelainan yang menarik minat orang ramai mesti beratur punya!

Tapi tak lawan kalau kita buat sendiri. Segala macam inti dan aksesori boleh kita letak...

Suami selalu cakap kat anak-anak bila mereka nak beli roti John...Nanti ibu buat  sbb kalau ibu buat daging

 nya padat bersalut telur. Ada cheese lagi. Jadi tak jadilah mereka beli. Tapi kadangkala saya beli juga kat

 luar tu sebab nak tau macamana rasanya...Terharu sungguh bila suami dan anak-anak menghargai air tangan

 saya....


Kat rumah saya roti John ini ada 2 version. Satu yg seperti diatas di isi dengan pelbagai inti termasuk 

sausage, beef bacon, chicken/beef peperoni dsb nya . Roti nya pula roti John yang lembut panjang atau roti

 oblong spt yang saya guna di atas dan kadang-kadang saya guna roti hot dog. Satu lagi version  inti 

dagingnya yang kering dan garing dan tiada tambahan aksesori lain , menggunakan roti baguette.Ini kami panggil roti  John 

Singapore style. Selalunya suami saya request yang kedua itu sebab dulu-dulu anak-anak saudaranya dari

 Singapore selalu masakkan untuk dia...dimakan bersama timun dan sos cili cair.


Oh ho....minum pula air Ribena Laici ni...Kelassss kau Jah! (ala-ala iklan ribena)


ROTI JOHN ala AZIAN

5 buku roti John
(saya guna roti oblong)

400 gm daging cincang

2 labu bawang besar
(1 ulas di potong dadu dan yg satu lagi di hiris)

1 1/2 sudu rempah kari daging

2 ulas bawang putih

3 ulas bawang merah

4 biji telur

1 sudu teh serbuk lada hitam

sedikit  lada sulah

Cheese slice

CARA MENYEDIAKAN:-

1.Tumbuk bawang merah dan bawang putih. Tumis bersama sedkit minyak sehingga naik bau.

2. Masukkan rempah kari dan masukkan rempah kari yang telah di cairkan dengan sedikit air. Masak sehingga rempah garing. Masukkan daging cincang dan gaul rata.

3. Masukkan garam secukup rasa serta lada  hitam dan apabila hampir masak, masukkan bawang besar yg di dadu. Masak lagi sehingga bawang agak layu.

4. Angkat dan sejukkan. Ketepikan sedikit daging itu untuk di tabur diatas cheese ketika menghidang.

5. Pecahkan telur di dalam sebuah bekas, masukkan sedikt garam dan serbuk lada sulah. kacau rata. Masukkan pula daging .(yg bahagian banyak).Kacau sebati.
# letakkan sedikit potongan daun sup/bawang - saya tak da stok.

6. Panaskan sedikit marjerine di atas kuali leper dan ratakan. Pastikan api perlahan. Ambil sesenduk 
campuran telur tadi dan tuang ke atas kuali. Ratakan agak-agak selebar roti yg telah di belah dua.


7. Tekapkan roti yg telah di belah dua tanpa putus (bahagian dlm ke bawah) dan tekan perlahan Jangan tekan kuat nanti roti jadi leper. Terbalikkan bila daging dah masak atau garing (ikut suka).

8. Angkat dan letakkan cheese. Taburkan lebihan daging dan bawang hiris.

9. Picitkan mayonise dan cili sos. Boleh juga letak black pepper sos jika suka.

10. Tangkupkan roti dan hidangkan....


Thursday, April 19, 2012

KEBAB DAGING BURGER



Kalau ke Jalan TAR saya pasti akan cuba membeli kebab yang dijual di hadapan SSF. Kebabnya begitu 

memenuhi citarasa saya. Selalunya saya lebih suka dengan roti kebab berbanding pita kebab.

Walaupun adakalanya Que nya agak panjang tetapi rela beratur memandangkan nak pergi kesitu pun

 bukannya selalu.....




Kali ini saya menggunakan daging burger sebagai inti Pita Kebab. Saya juga mencampurkan sedikit 

        daun/ batang ketumbar untuk menaikkan rasa.




Sesuai untuk sarapan dan mudah serta cepat untuk di sediakan.



KEBAB DAGING BURGER

BAHAN-BAHAN

Roti pita secukupnya
(boleh juga guna roti hotdog)

Daging burger

tomato

daun ketumbar

bawang besar

sos cili

sos barbeque

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Siat-siat daging burger dan goreng tanpa minyak di dalam kuali. Masak sehingga garing.

2. Masukkan sos cili dan sos barbeque. Gaul rata.

2. Masukkan bawang besar yang dihiris kasar dan hirisan kasar tomato yang telah di buang biji. Gaul rata.

3. Akhir sekali masukkan hirisan daun/batang ketumbar. Gaul rata dan angkat.

4. Belah dua roti pita dan panggang sebentar di atas kuali/grill pan. 

5. Masukkan daging burger yang di masak tadi dan picitkan mayonise di atasnya. Jika suka boleh juga diletakkan sos lada hitam.



Saturday, September 17, 2011

dah macam bakery.....




Adus... dah jadi macam bakery la pulak! Rumah dah penuh dengan roti... Mana tak nya..hari-hari buat roti..

Hari pertama buat selesai sekejap ajer...Maka sang suami pun berkata buatlah lagi.....

Ya lah dah penat makan lauk pauk dan kuih muih raya...lebih-lebih lagi ibunya pun dah lama tak buat...




Kali ini saya buat beraneka jenis roti dengan doh yang sama. Jadi anak-anak boleh lah pilih mana satu pilihan hati....

Yang ini pilihan hati ibu...hehehe.

SPICY CHICKEN FLOSS BUN




Yang ini punya topping yang agak 'mewah'. Ada sausage, beef bacon, Cheese,mayonise dan sos tomato. Mix 

vege saya letak sikit ajer kerana anak-anak kurang minattt...

RICH PIZZA




Roti sausage ini yang paling laku.... keluar oven ajer habiss......si kecil Lisa makan ajer ,habis 3 ketul ...

RAMLY CHICKEN SAUSAGE BUN




Beraneka rupa roti red bean yang di bentuk....melimpah-limpa red bean nyer...

RICH RED BEAN BUN

Kalau ada yang berkira-kira nak buat roti untuk anak-anak boleh tengok kat sini..

Akakk nak pergi beraya ni tak sempat nak tulis resepi...jangan mare.... 




Monday, March 14, 2011

CHICKEN FLOSS BUN


Salam sejahtera. Lama sungguh tiada N3 terbaru dari saya. Kekangan waktu memaksa saya meninggalkan 

sebentar arena mengupload N3 ni selain masalah teknikal lain .

Hari ini anak-anak berkumpul di rumah sempena cuti sekolah. Untuk awal minggu ini kami tidak kemana-mana 

hanya menghabiskan waktu dirumah menyelesaikan 'homework'. Di pertengahan minggu nanti kami akan 

bercuti.

Sempat juga saya membuat roti untuk kudap-kudapan anak-anak dirumah. Kali ini saya membuat Chicken 

Floss Bun, sausage roll dan pizza. 



Menggunakan adunan yang sama hanya di bentuk mengikut citarasa anak-anak. Sedar tak sedar dah tiga biji 

Chicken Floss Bun tu masuk kemulut saya. Sungguh lembut dan berlemak. 

Untuk floss nya saya beli yang di jual di kedai dan jika rajin boleh lah di ganti serunding daging.

Chicken Floss kali ini saya gunakan yang berasa pedas sedikit. Seperti biasa saya guna kan resepi yang sama 

seperti N3 terdahulu. Jika anda ingin mencuba di sini saya catatkan semula.


CHICKEN FLOSS BUN

BAHAN-BAHAN

500 gm tepung roti

60 gm butter

1 biji telur gred A
(50 gm)

237 gm air ais

7.5 gm dry yeast

10 gm full cream milk powder

5 gm bread improver

100 gm gula kastor

CARA MENYEDIAKAN:-

1. Satukan semua adunan dan uli sehingga doh tidak melekat dan licin.
( saya guna mixer)

2.Tutup doh dengan kain lembab dan perap doh selama 1 jam atau sehingga doh naik berganda.

3. Tumbuk adunan utk membuang angin.

4. Bahagi adunan dengan timbangan 40 gm setiap satu.( ikut suka)

5. Bulat-bulatkan dengan telapak tangan di atas meja/papan pencanai supaya permukaan bebola menjadi rata/smooth.

6. Bentukkan menjadi bun yang agak lonjong. Biarkan ia naik sebentar.

7. Sapukan eggwash dan bakar selama 20 minit dengan kepanasan 160-C @ mengikut oven masing-masing.

8. Angkat dan sejukkan. Bila sejuk sapukan sedikit mayonise yang telah di campur rata dengan sedikit susu pekat manis. Tabur dan tekap-tekapkan Chicken Floss.


Monday, January 24, 2011

Pita Kebab



Pita Kebab sering menjadi sarapan pagi kami sekeluarga. Inilah antara makanan kegemaran kami sekeluarga. 

Jika ke jalan TAR saya pasti akan membeli Shawarma Kebab yang di jual berhampiran SHF Home Decor. 

Saya sanggup beratur panjang-panjang untuk membeli nya dan adakalanya bila telah hampir tiba giliran saya, kebab 

sudah kehabisan stok. Aroma panggang nya begitu memanggil-manggil selera saya....

Jika di rumah tak dapatlah saya nak panggang segalanya. Jadi saya masak atas kuali ajer. Sarapan yang 

mengenyangkan di samping cukup segala khasiat yang di perlukan badan. Untuk roti pitanya saya beli ajer di 

pasaraya . Selalunya saya beli di Jusco. Pilihan saya tentulah yang punya serat gandum.



PITA KEBAB
BAHAN-BAHAN

Sebungkus roti pita
(potong 2 dan panggang di atas grill pan)

1 Peket daging cincang

1 labu bawang besar*

1 biji tomato*

3 ulas bawang putih

2 Sudu besar rempah kari daging

lada sulah/lada hitam

2 Sudu besar sos cili

mayonise, sos lada hitam

Daun Salad, tomato


CARA MEMASAK:-

1. Potong kiub kecil bahan yang bertanda *

2.Cincang halus bawang putih.

3. Tumis bawang putih hingga kekuningan. Masukkan rempah kari yang telah di cairkan. Masak hingga terbit minyak sambil di kacau selalu.

4. Masukkan daging cincang dan gaul rata. Masak hingga empuk. Masukkan pula sos cili, garam secukup rasa, sedikit lada hitam , lada sulah, tomato dan bawang besar. Gaul rata dan masak sehingga bawang hampir layu.

5. Sapukan permukaan dalam roti pita dengan mayonise. Sisipkan daun salad dan hirisan tomato. Masukkan daging.

6. Jika suka, paipkan kembali mayonise dan sos lada hitam di permukaan daging. 

# Saya masukkan kiub kentang rebus didalam daging.



Sunday, January 23, 2011

Potato Bun 1


Salam. Dulu-dulu saya gemarkan potato bun dari Carrefour Subang Jaya. Setiap kali pergi ke situ pasti 

seplastik di capai. Tapi kini Tesco berhampiran rumah juga telah menghasilkan rasa dan kualiti yang sama.

Rasa ingin mencuba sendiri begitu kuat dan sememangnya saya yakin mampu membuatnya cuma saya

perlu mencari resepi yang mana satu yang berjaya memenuhi citarasa saya. Sebenarnya ini juga suatu cabaran 

buat diri saya untuk menghasilkan potato bread yang lemak berkrim dan gebu. 

Resepi pertama ini saya ambil dari dapur  Mamafahmi. Disebabkan beliau seorang yang agak pakar membuat 

roti-roti ni...maka saya 'harus' mencuba. Hasil nya tidak mengecewakan dan bagi kali pertama membuatnya 

saya rasa puas hati. Resepi beliau juga telah di cuba oleh beberapa teman dari Facebook . Thanks Mama for sharing....



Bagi mereka yang ingin mencuba saya catatkan resepinya di bawah...



POTATO BUNS


BAHAN-BAHAN

150ml susu segar

1/2 egg -setengah lagi untuk egg wash

2 tbsp gula kastor

90 gm kentang lenyek
(ditimbang selepas lenyek) 

350 gm tepung roti
 
1 tbsp milk powder

4 gm yis kering
 
1/2 tbsp butter



Custard :

2 tbsp tepung kastard

3/4 cawan fresh milk

3 tbsp gula


- Masak bahan kastard di atas api perlahan hingga pekat.



CARA:-


1. Satukan semua  bahan membuat roti. Uli sehingga adunan lembut dan tidak melekat.
( saya gunakan mixer)

2. Perap adunan sehingga naik dua kali ganda.


3. Tumbuk adunan untk membuang angin di dalam adunan. Bahagikan doh sama rata. Bulat-bulat kan dan masukkan kedalam loyang. Perap lagi selama 30-40 minit. 

4. Sapukan egg wash dan paipkan custard di atas nya.

5. Bakar selama 20-30 minit dengan kepanasan 160-C atau mengikut oven masing-masing.