Tuesday, December 8, 2009

SUP MERAH



Asyik makan nasi aje menyebabkan aku ingin bertukar selera pula . Kebetulan semasa Aidil Adha tempohari abahku ada membekalkan beberapa ketul tulang ala-ala 'gear box' gitu untuk di bawa pulang. Oleh kerana  aku bercadang hanya mahu makan dengan 'Baguette' saja maka terlintas difikiran untuk memasak 'Sup Merah' panggilan anak-anak ku lahhh tuuuu....
Resepi ini aku perolehinya dari anak saudara suamiku Izzah yang tinggal di Pasir Ris,Singapura. Secara kasar aku mempelajarinya dan selalu juga aku memasaknya kerana kami sekeluarga memang gemarkannya. Tq Izzah...dah lama tak bersua tentu ada banyak resepi yea....Jom layan resepi dan gambar nya aje yang tinggal....


BAHAN-BAHAN:-

4-5 Ketul tulang lembu
(Gear box)

5 Biji kentang
(Rebus & lenyek)

2 Litter air
(lebihkan jika kurang empuk)

5 Ulas bawang merah*

4 Ulas bawang putih*

2 Inci halia*

Set rempah menumis

4 Sudu paste ayam masak merah
(guna paste Brahim)

1 Tin Tomato pure

1 peket rempah sup

Gula, garam, lada hitam/sulah

Pokok  ketumbar

Daun Sup/ bawang & bawang goreng
(penaik aroma)


CARA MEMASAK ;-

1. Tumbuk bahan yang bertanda *.Tumis rempah menumis diikuti dengan bahan yang ditumbuk hingga naik bau.

2. Masukkan rempah sup,tomato pure dan paste masak merah. Masak sebentar. Masukkan air dan kacau. Biar ia mendidih. Masukkan akar ketumbar, daun dan batangnya.

3. Masukkan tulang dan masak sehingga empuk.

4. Apabila telah empuk masukkan pula kentang lenyek. Biar mendidih. Apabila telah cukup pekat dan empuk tulang, masukkan pula garam, gula dan lada sulah serta sedikit lada hitam.

5. Taburkan daun sup/bawang dan bawang goreng ketika menghidang.


Sunday, December 6, 2009

TAMAN AZIAN

Melangkah ke arah taman hari ini membangkitkan semangat ingin berkebun.Kebetulan hari ini hari minggu. Maka hari inilah peluang untukku mengemaskini segala yang terdapat ditaman yang sejak akhir-akhir ini agak kelihatan tidak terurus. Semenjak ketiadaan pembantu rumah aku tidak dapat selalu meluangkan waktu untuk pokok-pokok bunga dan tamanku. Berbagai aktiviti perlu dilakukan seperti  menyusun, menanam semula,mengembur dan membaja segala apa yang perlu.Juga menyembur racun kulat dan serangga perosak terutama ketika ini hujan hampir setiap hari. Belalang kunyit sudah mula banyak memakan daun-daun pokok ku .Pokok Kesidangku sudah mula kurang berbunga. Pohon Melurku turut kurang memutikkan bunganya begitu juga dengan Cempaka, Kenanga dan Kemboja. Hanya pohon Mawar dan Jasmin yang tetap setia mengeluarkan bunga yang lebat. Aku rindukan bau-bauan bunga-bungaku yang segar dan harum terutama ketika waktu pagi dan hampir senja. Sebelum memulakan segalanya aku menyiapkan sarapan dan menikmatinya dilaman bersama suami dan Lisa anak bongsuku. Dari pukul 7 pagi hinggalah ke 1 tengahari aku dan suami berkebun aka beriadah, Jom layan gambar disekitar tamanku....



 Batu giling milik ibuku turut jadi hiasan taman.





Taman tempat 'relaks' kami sekeluarga.




Wednesday, December 2, 2009

UDANG GORENG KUNYIT



Sebut pasal udang memang tidak boleh dipisahkan dari keluargaku, Setiap minggu pasti ada satu atau lebih hidangan yang berasaskan udang. Antara hidangan yang ringkas yang menjadi kegemaran anak-anakku yang sememangnya tidak gemarkan hidangan pedas-pedas adalah Udang Goreng Kunyit. Untuk memasaknya memang mudah. Semudah mengira 123... dan hasilnya pasti licinnnn.....

BAHAN-BAHAN

1/2 Kilo udang

1 Biji bawang besar

2 Biji cili merah

2 Ulas bawang putih

Serbuk lada sulah

1 Sudu kunyit serbuk


CARA MENYEDIAKAN:-

1. Bersihkan udang.Tumbuk bawang putih. Hiris bawang besar bulat-bulat.Begitu juga cili.

2. Tumis bawang putih hingga naik bau wangi dam masukkan udang. Gaul rata udang dan masukkan pula kunyit serbuk, bawang besar dan cili yang telah dihiris kasar.

3. Masukkan serbuk lada sulah dan sedikit sahaja garam. Jangan terlalu lama udang dimasak kerana ia akan menjadi keras. Angkat.

Sunday, November 29, 2009

CUPCAKES






Projek membuat cupcakes ini sebenarnya telah dirancang sejak sebelum Aidil Adha lagi tetapi tertangguh hingga ka hari ini. Dengan pertolongan anak sulungku Ashiqin akhirnya dapat juga aku menghasilkan cupcakes berinti Blueberry dan coklat chips. Toppingnya pula berperisa Cappucino.
Oleh kerana mood malas telah melanda aku akan siarkan resepinya kemudian. Apa-apa pun layan dulu gambar tu yea.......
  


Wednesday, November 25, 2009

SALAM AIDIL ADHA




Kepada semua yang sudi singgah ke lamanku yang tak seberapa ini, ingin kuucapkan                                SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA.
Sepuluh jari kususun andai ada tulisan yang menyakitkan hati. Maaf zahir & batin.


Tuesday, November 24, 2009

MEE HOON SUP




Makanan berasaskan sup memang sesuai di masak untuk keluarga yang mempunyai anak kecil. Cuma tambahkan kicap bercili sahaja ia dapat dinikmati dengan enak oleh semua golongan. Telah beberapa hari aku teringin menikmati mee atau bihun sup. Bukan tidak boleh makan di luar tetapi kadangkala tidak menepati citarasa atau kekurangan "isi". Lalu aku merajinkan diri untuk memasak Mee Hoon Sup. Mee Hoon untuk hidangan mee dan bihun . Dirumahku ada seorang insan yang tak makan bihun 'sejak lahir'(alasan yang diberikan oleh anak ku yang kedua Ikmal dan menjadi 'joke' dalam keluarga). Dari itu aku terpaksalah mencelur kedua-dua jenis mee itu untuk memuaskan selera semua pihak.Disamping itu kami sekeluarga gemarkan rasa lobak asin didalam mee hoon sup.

BAHAN-BAHAN

600 gm tulang

400 gm daging

1 Bungkus perencah sup

1 Peket rempah campur

11/2 inci halia

1 Sudu lada sulah

5 Ulas bawang merah

3 Ulas bawang putih

*
Mee

Bihun

Taugeh celur

Lobak asin goreng

Daun sup/bawang

Bawang goreng

Kicap pedas( cili api & bawang putih ditumbuk + kicap manis)


CARA MEMASAK

1. Tumbuk kedua-dua bawang. Rebus tulang dan daging hingga empuk. Angkat. Bila sejuk hiris daging nipis-nipis. Celur mee dan bihun berasingan sebentar sahaja . Toskan.
                                                                                                                                          
2.Tumis rempah campur dan bawang hingga naik bau. Masukkan rempah sup yang telah dicairkan. Masak sebentar sambil dikacau supaya tidak hangus rempahnya. Masukkan air rebusan daging secukupnya.

3. Masukkan pula tulang yang telah direbus dan lada sulah.

4. Tambahkan garam secukup rasa.




Sunday, November 22, 2009

AGAR AGAR SANTAN




Pagi tadi semasa memasak Bihun Goreng untuk sarapan hari ini aku sempat  juga menyambil memasak Agar-Agar Santan yang akan ku bawa sebagai ole-ole untuk room mate anak sulongku . Itu yang sempat ku masak kerana kami akan bertolak pagi selepas sarapan.
Untuk resepinya bolehlah imbas kembali resepiku yang terdahulu. Selalunya aku membuat agar-agar ini untuk kemajlis kenduri jiran-jiran atau saudara. Inilah buah tangan yang paling mudah dan cepat disediakan. Malah selalunya digemari ramai. Aroma gula melaka dan daun pandan serta santannya begitu 'manis'. Jika dahulu(waktu anak dara) selalu mendapat tekstur santannya yang halus. Atau ada kalanya 'berkepala'. Aku lebih sukakan yang 'berbunga' seperti kemenyan .Inilah hasil rajin bertanya kepada orang yang lebih arif......